BN yakin manifesto PRN Negeri Sembilan lebih realistik, mampu ditunaikan - Ahmad Maslan

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 12:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: BN yakin manifesto PRN Negeri Sembilan lebih realistik, mampu ditunaikan - Ahmad Maslan
Ahmad (empat dari kanan) menyampaikan anugerah penambahan ahli UMNO teramai kepada UMNO Cawangan Mutiara di Dewan Jubli Intan Pontian pada Sabtu.

PONTIAN – Barisan Nasional (BN) yakin manifesto yang ditawarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lebih realistik dan berupaya dilaksanakan berbanding manifesto lawan kerana berpaksikan rekod pencapaian serta keupayaan mentadbir.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setiap aku janji yang terkandung dalam manifesto BN disusun berdasarkan kemampuan kerajaan untuk melaksanakannya, bukannya sekadar janji bagi meraih sokongan.

"Manifesto BN jauh lebih baik. Kita yakin apa yang dijanjikan akan dapat ditunaikan kerana ia berdasarkan kemampuan dan pengalaman mentadbir.

"Apa yang kita sebut, war-warkan dan janjikan kepada rakyat itulah yang akan kita laksanakan apabila diberi mandat," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan di sini, pada Sabtu.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya itu lagi, manifesto berkenaan turut memberi penekanan kepada pembangunan generasi muda kerana kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar membentuk kerajaan, sebaliknya membina masa depan negara.

Katanya, selain golongan muda, manifesto itu turut memberi perhatian kepada wanita, veteran dan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum menerusi pendekatan yang inklusif.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, antara tawaran utama BN ialah meneruskan projek pembangunan yang tertangguh termasuk Malaysia Vision Valley (MVV) yang dirancang ketika pentadbiran bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, pembangunan dari Seremban hingga Port Dickson itu bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menarik pelaburan serta membangunkan kawasan perindustrian, perniagaan dan pelancongan yang mampu menjadi pelengkap kepada Kuala Lumpur.

"Ia bukan sekadar projek pembangunan, tetapi satu perancangan jangka panjang untuk merancakkan ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved