BNM tingkatkan keupayaan kewangan digital rakyat Malaysia melalui Karnival Celik Kewangan

30 Oct 2023 • 11:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BNM tingkatkan keupayaan kewangan digital rakyat Malaysia melalui Karnival Celik Kewangan

zulfadli

30/10/2023 - 11:37

KUALA LUMPUR 30 Okt - Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) serta industri kewangan menganjurkan Karnival Celik Kewangan (KCK) bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan celik kewangan dan menggalakkan rangkuman kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

KCK Johor yang berlangsung baru-baru ini merupakan acara kemuncak Bulan Literasi Kewangan 2023 (FLM 2023) yang diadakan sepanjang Oktober lalu.

Selain mengunjungi lebih 50 lokasi di seluruh negara semasa FLM 2023, FEN menyediakan sumber pendidikan kewangan yang meluas kepada orang ramai yang merangkumi pengurusan kewangan peribadi, celik kewangan digital, kesedaran mengenai penipuan kewangan dan khidmat nasihat kewangan percuma.

Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, sebilangan besar rakyat Malaysia bersikap jangka pendek dalam merancang masa depan pengurusan kewangan mereka, yang mengakibatkan kesulitan pada kemudian hari berikutan pengurusan kewangan yang tidak memadai.

"Peranan pengurusan kewangan yang berhemat adalah penting untuk menangani isu ini yang seterusnya membuka jalan kepada taraf hidup yang lebih makmur dan mampan," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, KCK Johor menyediakan peluang yang unik kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai produk dan perkhidmatan kewangan.

Pengunjung dapat mengetahui tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna kewangan. Mereka juga akan dapat mengikuti perkembangan terkini mengenai pengurusan perniagaan dan kewangan serta mendapatkan khidmat nasihat kewangan.

image is not available
Abdul Rasheed Ghaffour

Selain itu, pengunjung memperoleh manfaat daripada ruang pameran oleh rakan strategik FEN, agensi kerajaan serta institusi kewangan, termasuk ruang pameran #jangankenascam.

Ruang pameran itu merupakan kerjasama oleh institusi kewangan bagi mempertingkatkan kesedaran tentang penipuan kewangan.

Karnival tiga hari itu juga menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik dan menyeronokkan. Pengunjung boleh mengambil bahagian dalam sembang santai ilmu, cabutan bertuah, aktiviti kanak-kanak termasuk penampilan maskot Si Kijang serta konsert mini.

image is not available

Dalam pada itu, acara itu turut menyaksikan pelancaran FEN Proaktif, program pendidikan kewangan rintis yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi.

Mengakui potensi FEN PROAKTIF untuk memberikan impak positif kepada kehidupan golongan muda di seluruh negara, Abdul Rasheed menyuarakan aspirasi beliau supaya program ini diperluas pada kadar segera ke semua universiti dan kumpulan belia, termasuk yang berada di institusi pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta kolej komuniti. - DagangNews.com