hamden07/08/2026 - 15:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos - Boeing memperluaskan kemudahan Boeing Composites Malaysia (BCM) di Kedah dengan penambahan ruang gudang seluas 9,230 meter persegi (m2) bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran komponen pesawat komersial, sejajar dengan permintaan global yang terus berkembang.
Pengeluar pesawat Amerika Syarikat itu berkata, peluasan tersebut melibatkan kemudahan penyimpanan komponen siap serta operasi logistik bersepadu bagi menyokong peningkatan pengeluaran pesawat komersial dan memenuhi komitmen penghantaran kepada pelanggan di seluruh dunia.
Pengarah Urusan BCM, Faisal Sraieldin berkata, pelaburan berterusan Boeing di Kedah membuktikan keyakinan syarikat terhadap keupayaan sektor perindustrian Malaysia serta bakat tempatan dalam industri aeroangkasa.
"Pelaburan berterusan Boeing di Kedah mencerminkan kekuatan asas perindustrian Malaysia dan bakat luar biasa rakyat Malaysia yang membentuk pasukan kami.
"Dengan peluasan ini, kami mengukuhkan komitmen untuk membangunkan bakat berteknologi tinggi serta memperkukuh kerjasama jangka panjang dengan Malaysia, di samping mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pembuatan aeroangkasa," katanya dalam kenyataan.

BCM kini menggaji kira-kira 1,150 rakyat Malaysia dan mengeluarkan pelbagai produk komposit serta subpemasangan bagi pesawat komersial Boeing.
Kemudahan itu merupakan anak syarikat milik penuh pertama Boeing di Asia Tenggara selepas syarikat tersebut mengambil alih Aerospace Composites Malaysia Sdn. Bhd. daripada Hexcel Corp pada Disember 2023.
Sebelum itu, kemudahan berkenaan beroperasi sebagai usaha sama antara Boeing dan Hexcel.
Loji di Kedah itu mengkhusus dalam pengeluaran komponen komposit termasuk aileron skins, panel rata serta trailing edges untuk beberapa model pesawat komersial Boeing seperti 737, 777 dan 787 Dreamliner.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan, Boeing berkata, syarikat itu terus menjalin kerjasama dengan institusi latihan teknikal tempatan termasuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Advanced Technology Training Centre (ATTC).
Kerjasama tersebut bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang pembuatan aeroangkasa berketepatan tinggi, selain meningkatkan kesiapsiagaan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri. - DagangNews.com



