
GOMBAK, 14 OGOS: Selangor dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Sabah 2-1 pada aksi kedua Kumpulan A bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Selayang, malam tadi.
Pada perlawanan itu, Selangor terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain tengah, Tegen Su-Yin Butler pada minit ke-40.
Sabah kemudian bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Dian Aqilah Mohamed Imran pada minit ke-45.
Bersambung babak kedua, Selangor menggandakan asakan sebelum berjaya menjaringkan gol pada minit ke-52 selepas pemain pertahanan negara, Eusvewana Kadius bijak menolak masuk umpanan rakan sepasukan untuk menjaringkan gol kemenangan.
Namun, malang buat pemain tengah Selangor, Zafirah Zulaikha Mohamad Zuhri dilayangkan kad merah pada minit ke-95 selepas mengutip kad kuning kedua.
Kedudukan kekal 2-1 dengan Selangor mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selaku juara kumpulan A.
Jurulatih Selangor, Osmera Omaro memuji semangat anak buahnya selepas berjaya mengenepikan cabaran Sabah.
"Kami sebenarnya boleh beraksi dengan lebih baik. Namun, tahniah tetap diberikan kepada para pemain atas persembahan hebat yang dipamerkan.
"Mereka tampil berani dan menyahut cabaran apabila keadaan memerlukan," katanya kepada Media Selangor.
Mengulas mengenai kad merah, Osmera mahu pemainnya menjadikan hal itu sebagai satu pengajaran dan menjadi lebih bijak pada masa hadapan.
"Pada minit-minit akhir perlawanan, anda perlu lebih bijak. Namun dia (Zafirah) pemain yang bagus dan situasi ini akan membantunya berkembang.
"Walaupun agak malang buat dirinya dan pasukan, ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran," ujar Osmera lagi.
Sementara itu, Eusvewana sangat gembira dengan prestasinya apabila menjaringkan gol kemenangan untuk Selangor mara ke separuh akhir.
"Saya sangat gembira dan bangga dengan diri saya kerana semalam ada sedikit konflik dengan diri sendiri, tetapi (hari ini) saya berjaya memberikan keputusan yang terbaik," katanya.
Beliau berazam mahu kekalkan fokus untuk menampilkan aksi lebih baik pada peringkat kalah mati nanti.
Selangor dijadualkan berdepan naib johan Kumpulan B pada aksi separuh akhir di Stadium Selayang pada 17 Ogos ini.





