SUKMA 2026: Selangor bangkit tewaskan Wilayah Persekutuan 13-5 dalam polo air

13 Aug 2026 • 4:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Selangor bangkit tewaskan Wilayah Persekutuan 13-5 dalam polo air

SHAH ALAM, 13 OGOS: Selangor bangkit daripada ketinggalan pada suku pertama untuk menewaskan Wilayah Persekutuan 13-5 dalam aksi kedua Kumpulan B polo air lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Akuatik Selangor, hari ini.

Selangor yang berdepan aksi sengit sejak awal permainan bagaimanapun berjaya bangkit menguasai perlawanan dan melebarkan jurang jaringan pada kuarter-kuarter berikutnya.

Kapten Selangor, Brandon Wong berkata, beliau sudah menjangkakan perlawanan sengit menentang Wilayah Persekutuan, terutama selepas pasukannya ketinggalan pada suku pertama.

“Kami sudah menjangkakan perlawanan sengit menentang Wilayah Persekutuan hari ini.

"Kami tahu kami akan berdepan cabaran dan jika kami mahu menang, kami perlu bermain 110% hari ini. Saya percaya kami telah lakukan dengan sangat baik, kami berjaya mengatasinya,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Sementara itu, jurulatih Selangor, Ko Hyang Kwuaon memuji persembahan pemainnya yang disifatkan beraksi melebihi kemampuan sebenar untuk memastikan kemenangan menjadi milik pasukan.

Menurutnya, beliau tidak menyalahkan mana-mana pemain atas kesilapan yang berlaku sebaliknya menekankan kepentingan untuk kekal bersatu sepanjang perlawanan.

Image from: SUKMA 2026: Selangor bangkit tewaskan Wilayah Persekutuan 13-5 dalam polo air
Jurulatih polo air Selangor, Ko Hyang Kwuaon ditemui media selepas aksi pasukan Selangor lelaki menentang Wilayah Persekutuan dalam acara sukan Polo Air pada temasya SUKMA 2026 di Pusat Akuatik Selangor pada 13 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

“Hari ini mereka bermain dengan sangat bagus. Dengan pengadil yang kami ada sekarang, saya boleh katakan mereka (pemain) beraksi sebaik yang mereka mampu.

"Akhirnya kami putuskan yang lakukan paling banyak kesilapan akan memenangi perlawanan kali ini. Syukur, kami menang kali ini kerana pemain kami kekal bersama sebagai pasukan dan mereka bekerja keras untuk hasil ini," katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor meneruskan momentum positif dalam saingan Kumpulan B selepas turut mencatat kemenangan pada aksi pembukaan sebelum ini.

Semalam, Selangor meneruskan momentum positif selepas membelasah Pulau Pinang 23-13 dalam aksi pembukaan Kumpulan B.

Image from: SUKMA 2026: Selangor bangkit tewaskan Wilayah Persekutuan 13-5 dalam polo air
Aksi sengit pemain Selangor menentang Wilayah Persekutuan dalam acara polo air sempena SUKMA 2026 di Pusat Akuatik Selangor pada 13 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Selangor bakal meneruskan saingan pusingan Kumpulan B dengan berdepan dengan Sabah dalam aksi seterusnya di Akuatik Selangor, esok.

Akuatik Selangor yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, kira-kira dua kilometer dari Stesen LRT Stadium Shah Alam, menjadi antara venue utama bagi saingan akuatik Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Orang ramai yang ingin ke lokasi berkenaan boleh mencari lokasi 'Akuatik Selangor' menerusi aplikasi Waze atau Google Maps.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved