Boleh Ke Isteri Cabar & Minta Suami Lafaz Cerai Ketika Gaduh? Ini Penjelasannya

Family & Parenting
22 Jul 2025 • 12:06 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap pasangan suami isteri sudah semestinya mahu mahligai dibina bahagia hingga ke akhir hayat.

Namun lumrah berumah tangga, pastinya ada hari berlaku perselisihan faham antara mereka. Lebih teruk, jika pertengkaran itu menyebabkan si isteri mencabar suami untuk melafazkan cerai.

Mungkin nampak biasa kerana kadangkala ada segelintir individu yang tidak sedar dengan kata-kata mereka ketika marah.

Namun pernah tak terfikir hukum seorang isteri mencabar dan meminta suami melafazkan cerai sewaktu bergaduh?

Isteri Tidak Boleh Semudahnya Minta Cerai Tanpa Alasan Kukuh

Merujuk laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seorang isteri tidak boleh semudahnya mencabar suami untuk melafazkan cerai tanpa alasan kukuh yang diterima syarak.

“Mencabar suami untuk bercerai ketika bergaduh akan menyebabkan suami melafazkan talak dalam keadaan marah.

“Lebih dirisaukan apabila isteri dengan mudah meminta diceraikan sedangkan suami tidak melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak,” jelas mereka.

Jelas mereka, Rasulullah SAW melarang seorang isteri meminta cerai tanpa alasan yang kukuh berdasarkan sabda Baginda SAW;

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ، فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ

“Maksudnya: ‘Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa alasan yang munasabah maka haram baginya bau syurga.’

“(Riwayat Abu Daud),” terang mereka.

Cabar Suami Untuk Cerai Boleh Dianggap Nusyuz

Malah, laman itu menjelaskan seorang isteri boleh dianggap nusyuz sekiranya mencabar suami untuk menceraikannya ketika berlaku pertengkaran.

“Walaupun suami tidak boleh sewenang-wenangnya menggelarkan isteri nusyuz, namun dengan situasi seperti ini berkemungkinan suami boleh memfailkan kes nusyuz di mahkamah sehingga menyebabkan banyak kesan negatif yang lain bakal menyusul,” jelas laman itu lagi.

Perlu Bincang Secara Baik & Dapatkan Khidmat Kaunseling

Mereka turut menasihatkan pasangan suami isteri untuk berbincang secara baik dan mendapatkan khidmat sulh (perdamaian) atau kaunseling sekiranya pertengkaran belum menemui jalan penyelesaian.

“Perbincangan secara damai antara kedua-dua belah pihak sangat digalakkan apabila berlaku pertikaian dalam urusan rumah tangga.

“Pasangan suami isteri boleh mendapatkan bantuan orang tengah atau mediator sekiranya pertelingkahan yang berlaku tidak mampu diselesaikan berdua sahaja. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِنۡ خِفۡتُمۡ شِقَاقَ بَيۡنِهِمَا فَٱبۡعَثُواْ حَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهِۦ وَحَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصۡلَٰحٗا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيۡنَهُمَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرٗا

‘Maksudnya: ‘Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah ‘orang tengah’ (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua ‘orang tengah’ itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.’

“(Surah al-Nisa’: 35),” terang mereka.

Isteri Boleh Minta Cerai Jika Ada Alasan Kukuh

Pun begitu, seorang isteri dibolehkan meminta cerai melalui cara memohon khuluk (menebus talak dengan sesuatu gantian di mahkamah) atau fasakh jika terdapat alasan kukuh yang diterima syarak contohnya seperti dianiaya atau dizalimi suami.

“Walau bagaimanapun, terdapat situasi isteri boleh meminta perceraian sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT berikut:

فَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡهِمَا فِيمَا ٱفۡتَدَتۡ بِهِۦۗ

“Maksudnya: ‘Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).’

“(Surah al-Baqarah: 229),” terang mereka lagi.

Isteri Minta Cerai Tanda Akhlak Tidak Elok

Dalam pada itu, menurut penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), seorang isteri yang semudah-mudahnya meminta cerai dari suami menandakan akhlaknya tidak elok.

“Isteri minta cerai ini sebenarnya akhlak dia tidak molek (elok). Minta cerai ni, belum cerai lagi, minta cerai sebenarnya tertutup pintu syurga,” katanya.

5 Perkara Yang Dibolehkan Untuk Isteri Minta Cerai Dari Suami

Malah, UAI turut menyenaraikan lima perkara yang dibolehkan seseorang isteri itu untuk meminta cerai.

Lima perkara tersebut adalah;

  1. Suami tidak memberi nafkah
  2. Suami melarang isteri buat perkara yang wajib (contohnya seperti solat)
  3. Suami menyuruh isteri buat perkara haram (contohnya seperti berjudi)
  4. Suami mendera isteri
  5. Suami kena penjara

Source: