Boleh Pegang Telefon Semasa Solat Untuk Rujuk Al-Quran, Asalkan Tidak Ganggu Khusyuk – Mufti P.Pinang

LocalPolitics
3 Mar 2025 • 8:36 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Sejak semalam (2 Mac), kecoh di media sosial mengenai satu klip memaparkan seorang wanita dipercayai melakukan siaran langsung (live) di TikTok ketika solat sunat Tarawih di sebuah masjid.

Dalam rakaman tersebut, jemaah wanita berkenaan juga dilihat sedang memegang dan melihat telefon bimbitnya semasa solat.

Video tersebut kemudiannya meraih pelbagai reaksi daripada orang ramai di mana rata-rata mengecam tindakan wanita terbabit.

image is not available

Pegang telefon ketika solat untuk rujuk al-Quran dibenarkan – Mufti Pulau Pinang

Terbaharu, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman tampil memberi ulasannya berhubung isu tersebut.

Menurutnya, perbuatan memegang telefon ketika solat adalah dibenarkan bagi mereka yang masih belum menghafal surah jika melalui mushaf asalkan tidak mengganggu kekhusyukkan.

Kata Mohd Sukki, para ulama menjelaskan membaca daripada mushaf termasuk melalui telefon dibolehkan berdasarkan amalam sebahagian ‘salaf’ yang membaca daripada mushaf ketika solat.

Tak digalakkan pegang dan lihat telefon ketika solat

Bagaimanapun perbuatan itu tidak digalakkan kerana bimbang melihat perkara tidak sepatutnya selain ayat al-Quran.

“Tetapi diingatkan untuk memegang telefon dengan satu tangan atau meletakkannya di tempat yang mudah dibaca adalah lebih baik daripada sering bergerak mengambil dan meletakkannya.

“Jadi, individu yang menggunakan telefon untuk membaca surah, solatnya tetap sah tanpa pergerakan banyak atau mengganggu khusyuk,” katanya dipetik Sinar Harian.

Buat ‘live’ ketika ibadah boleh ganggu tumpuan dan sebabkan solat terbatal

Menurutnya lagi, perbuatan membuat siaran langsung di media sosial ketika melaksanakan solat boleh mengganggu tumpuan ibadah hingga menyebabkan ia terbatal.

“Dalam Islam, khusyuk adalah elemen penting ketika menunaikan solat. Jika seseorang melakukan perbuatan yang mengganggu fokus solat, ini boleh menjejaskan kesempurnaan ibadah.

“Menurut pandangan Mazhab Syafie, sebarang perbuatan yang tidak berkaitan dengan solat dan mengganggu tumpuan boleh menyebabkan ibadah berkenaan terbatal.

“Ini termasuklah tangan digunakan untuk memegang, melihat komen dan berinteraksi dengan penonton siaran langsung, ia juga akan membatalkan solat,” katanya lagi.

Tanggal dan pakai semula cermin mata tak batalkan solat jika tidak lebih 3 kali

Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, tindakan menanggalkan atau memakai semula cermin mata semasa solat tidak membatalkan jika pergerakan tidak melebih tiga kali.

“Solat masih sah jika tiada pergerakan banyak dan tidak melibatkan interaksi dengan orang lain.

“Namun solat sambil bersiaran langsung boleh mengurangkan kekhusyukkan dan memberi kesan negatif kepada pemahaman masyarakat tentang adab dalam ibadah.

“Sebaiknya elakkan kerana solat adalah urusan peribadi antara hamba dengan Allah, bukan untuk tontonan umum,” ujarnya.

Source: