Boleh Rosak Buah Pinggang Dan Sistem Saraf, Dua Produk Kosmetik Dikesan Mengandungi Racun

16 Sep 2023 • 11:05 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Kosmetik Tati mengandungi racun berjadual

Boleh Rosak Buah Pinggang Dan Sistem Saraf, Dua Produk Kosmetik Dikesan Mengandungi Racun. Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua produk kosmetik didapati mengandungi racun berjadual serta boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Menurut kosmo, dua produk berkenaan adalah ‘Beaute Treatment Cream’ dikesan mengandungi racun berjadual jenis hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate, manakala ‘Beaute Nite Cream’ dikesan mengandungi racun berjadual jenis merkuri dan betamethasone 17-valerate.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, NPRA menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik tersebut.

image is not available
Sumber: cari

Tidak dibenarkan untuk dipasarkan

Jelasnya, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dipasarkan di Malaysia.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

“Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau bayi dalam kandungan.

“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Boleh menyebabkan merah pada kulit

Jelasnya, hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

“Tretinoin boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Betamethasone 17-valerate menyebabkan kulit muka menjadi nipis dan mudah iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi dan meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang memudaratkan, ujarnya.

image is not available
Gambar hiasan. Sumber: botolanggun

Dalam pada itu, Muhammad Radzi mengingatkan penjual dan pengedar menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik berkenaan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Dia turut berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Sementara itu, bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

Baca juga artikel yang berkaitan: