Boleh Undang Bahaya, Tindakan Lelaki Berani Tegur Kanak-Kanak Main Di Kunci Air Ketika Air Deras Raih Pujian

Family & Parenting
18 Jun 2026 • 10:50 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Boleh Undang Bahaya, Tindakan Lelaki Berani Tegur Kanak-Kanak Main Di Kunci Air Ketika Air Deras Raih Pujian

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Dunia kanak-kanak sememangnya penuh dengan imaginasi dan keseronokan.

Pada usia sebegini, sesetengah daripada mereka tidak nampak kesan akibat daripada perbuatan mereka yang kadangkala boleh membahayakan nyawa.

Golongan dewasalah yang bertanggungjawab menegur golongan ini agar mereka sedar tindakan yang dilakukan sebenarnya boleh memakan diri.

Lelaki Tegur Sekumpulan Kanak-Kanak Bermain Di Kunci Air

Baru-baru ini, tular di media sosial perkongsian seorang lelaki yang menegur sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di kunci air.

Menerusi video yang dikongsikan oleh lelaki berkenaan di Threads, kelihatan dua orang kanak-kanak sedang bermain pada batu di tengah kunci air berkenaan ketika air sedang deras.

Manakala, seorang lagi kanak-kanak berada di bahagian tepi sambil melihat dua kawannya itu bermain.

Menyedari bahaya akibat perbuatan tersebut, lelaki yang dikenali sebagai Haziq itu terus menegur kanak-kanak berkenaan.

“Bahaya laa, karang korang masuk jatuh. Takut jatuh dalam ni, nampak (air deras). Karang jadi isu dekat sini,” katanya.

Menerusi hantaran tersebut, difahamkan sekumpulan kanak-kanak terbabit sedang memancing di kunci air itu.

“Memancing dapat ikan tak? Korang jangan buat mandi-mandi, lompat, bahaya. Tak pasal-pasal nanti pak cik memancing dekat sini jumpa arwah korang setiap hari, korang jadi roh berkeliaran dekat sini.

“Jangan mandi lagi, kalau kawan-kawan mandi cakap diorang jangan main, kalau jatuh dalam ni mati semua, nampak tu dalam tu,” tegurnya lagi.

Namun, salah seorang daripada kanak-kanak terbabit dilihat tetap bermain di kunci air berkenaan sebelum Haziq menegurnya sekali lagi dan berlalu pergi.

Tegur Kerana Tak Mahu Kawasan Ditutup Kepada Orang Ramai

Kongsi lelaki itu, selain menyedari bahaya yang bakal menimpa, dia menjelaskan perbuatan sekumpulan kanak-kanak terbabit boleh menyebabkan tempat itu ditutup kepada umum.

“Karang elok-elok orang kampung boleh santai-santai tepi sungai ini, sebabkan diorang ini, dah tak dapat nak lepak, nak healing-healing dekat sini,” katanya.

Image from: Boleh Undang Bahaya, Tindakan Lelaki Berani Tegur Kanak-Kanak Main Di Kunci Air Ketika Air Deras Raih Pujian

Tunjuk Keadaan Kunci Air Ketika Ditutup, Batu Didakwa Dalam Keadaan Berlumut

Melalui video berasingan, Haziq turut menunjukkan keadaan sebenar kunci air ketika ia ditutup dan bahaya jika kanak-kanak terjatuh di lokasi berkenaan.

“Tengok keadaan dia yang sebenar, kalau katalah budak-budak yang main air tu terjatuh, tergelincir licin, bawah batu tu dalam tau sebenarnya.

“Aku jamin dia takkan boleh naik, air jatuh laju lepas tu dia berpusar, lepas tu tengok keadaan dalam dia. Dalam ni, berapa kaki ni. Kalau air bertakung, kita tak tahu berapa kedalaman dia,” jelasnya.

Malah, Haziq turut mendakwa batu pada kunci air berkenaan licin dek kerana terdapat lumut di bahagian tersebut.

Kongsi Haziq kepada BuzzKini, kunci air berkenaan terletak di Padang Jawa, Selangor dan kejadian berlaku pada 15 Jun lalu.

View on Threads

Ramai Setuju Tindakan Lelaki Tegur Kanak-Kanak, Boleh Undang Bahaya

Perkongsian yang telah mendapat lebih 321,000 tontonan itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersetuju tindakan lelaki berkenaan yang menegur kanak-kanak terbabit.

Ini kerana bagi mereka perbuatan kumpulan budak lelaki itu yang bermain di kunci air sememangnya boleh membahayakan nyawa.

Malah, ada yang mengharapkan agar video berkenaan turut sampai ke pengetahuan ibu bapa atau penjaga mereka agar tindakan yang sepatutnya boleh diambil.

Ini antara komen menarik pengguna Threads:

“Bagus Bang, Marah Je. Ini Mesti Emak Ayah Tak Tahu. Kalau Masuk Memang Mati Lemas Bang Tak Boleh Keluar Dah”

Image from: Boleh Undang Bahaya, Tindakan Lelaki Berani Tegur Kanak-Kanak Main Di Kunci Air Ketika Air Deras Raih Pujian

“Ini La Manusia Yang Menyebabkan Bomba Mati Sia-Sia. Dah Jadi Sekali Dekat Rumah Aku, Semua Bomba Terikat Dekat Satu Tali Tu Meninggal Berpusar Ke Dalam”

Image from: Boleh Undang Bahaya, Tindakan Lelaki Berani Tegur Kanak-Kanak Main Di Kunci Air Ketika Air Deras Raih Pujian

“Deras Air Tu, Kalau Hanyut Depan Sikit, Bergulung Dalam Air. Harap Emak Ayah Diorang Tengok Video Ini Untuk Tegur Anak-Anak”

Image from: Boleh Undang Bahaya, Tindakan Lelaki Berani Tegur Kanak-Kanak Main Di Kunci Air Ketika Air Deras Raih Pujian

Baca Artikel Berkaitan: Air Belum Surut, Bomba Terkejut Kanak-kanak Bawah 2 Tahun Main Banjir Tanpa Pengawasan Ibu Ayah [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Berjaya Selamatkan Kanak-Kanak Hampir Lemas Di Sungai Sedim [Video]