Bolehkah Sambut Raya Aidilfitri Selama Sebulan? Ini Penjelasan Mufti

30 Mar 2026 • 12:55 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Bolehkah Sambut Raya Aidilfitri Selama Sebulan? Ini Penjelasan Mufti

Hari Raya Aidilfitri merupakan antara perayaan paling dinanti oleh umat Islam setiap tahun. Hari tersebut diraikan sebagai tanda kemenangan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Pada hari berkenaan, umat Islam digalakkan untuk saling bermaafan, menziarahi ahli keluarga serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.

Di Malaysia, kemeriahan sambutan Aidilfitri sering berlanjutan lebih lama berbanding hari pertama raya.

Malah, sambutan sehingga sebulan semakin menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat.

Keadaan ini berlaku kerana ramai mengambil peluang untuk berkunjung ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan yang mungkin sukar ditemui pada hari raya pertama.

image is not available
Kredit: Bernama

Selain itu, pejabat dan organisasi turut menganjurkan majlis rumah terbuka selepas para pekerja kembali bertugas selepas tempoh cuti perayaan.

Walau bagaimanapun, situasi ini turut menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat tentang hukum menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh sebulan.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, ikuti penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan persoalan ini di bawah.

Huraian berkenaan menyambut raya Aidilfitri selama sebulan

Ringkasan Jawapan:

Hari raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi pada sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh nabi SAW.

Namun orang Ramai dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat 6 Syawal di samping sibuk melakukan ziarah-menziarahi sepanjang bulan Syawal serta tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.

Baca juga:

Huraian Jawapan:

Dalam kitab Tahzib al-Lughah disebutkan bahawa hari raya dinamakan dengan aid(عيد) kerana  hari raya datang dengan kegembiraan pada setiap tahun[1].

Setelah sebulan berpuasa bersabar menahan lapar dan dahaga maka pada hari raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa ketika mana Nabi SAW sampai ke Madinah Nabi mendapati penduduk Madinah memiliki 2 hari yang mereka bergembira padanya lalu Nabi SAW bertanya: “Apakah dua hari ini?” lalu jawab mereka: “Ia adalah hari untuk kami bergembira”, nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.”

(Riwayat Abu daud)

Manakala dalam riwayat yang lain Abu Bakar RA masuk ke dalam rumah Nabi SAW dan ketika itu terdapat 2 orang hamba perempuan dari kalangan Ansar sedang menyanyikan lagu berkenaan peristiwa Bu’as.

Lalu Abu Bakar RA berkata: “Adakah seruling Syaitan ada di dalam rumah Rasulullah?” lalu Rasulullah SAW  bersabda:

يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَهَذَا عِيدُنَا

Maksudnya: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu memiliki hari raya dan hari ini merupakan hari raya kita.”

(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan berkenaan hadis ini berkata: “Antara faedah yang boleh diambil dari hadis ini ialah disyariatkan memperluaskan memberi keluarga sesuatu yang boleh menggembirakan ahli keluarga pada hari raya di samping merehatkan badan dari kepenatan ibadat. Menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah termasuk dalam syiar agama[2].”

image is not available
Kredit: Bernama

Pada hari raya umat Islam juga digalakkan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim. Ziarah menziarahi pada hari raya dapat difahami daripada amalan ziarah yang dilakukan oleh Abu Bakar RA ke rumah baginda Nabi SAW[3].

Suasana di Malaysia orang ramai akan meneruskan aktiviti menziarahi saudara mara dan rakan taulan sehinggalah akhir Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya.

Terdapat banyak hadis yang menyebut berkenaan anjuran Islam untuk menyambung hubungan siaturahim, ukhuwah dan memuliakan tetamu.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

مَن أحَبَّ أنْ يُبْسَطَ له في رِزْقِهِ، ويُنْسَأَ له في أثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Siapa yang suka untuk diluaskan rezkinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim.”

(Riwayat al-Bukhari)

Manakala berkenaan kelebihan memuliakan tetamu pula Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا، أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يُؤْذِ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka berkatalah benar atau diam, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah menyakiti jiran, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamu.” 

(Riwayat al-Bukhari)

image is not available
Kredit: Bernama

Tidak dinafikan bahawa hari raya yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal.

Walau bagaimanapun ia tidak menafikan kebaikan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim sama ada pada bulan Syawal mahupun pada bulan-bulan yang lain.

Adat kebiasaan di Malaysia pada bulan Syawal orang ramai akan melakukan ziarah menziarahi dan ini merupakan adat kebiasaan yang baik.

Mana-mana adat yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah fiqh disebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)[4].”

Kami juga telah bincangkan berkenaan isu ini dalam artikel yang lepas bertajuk "Sambut Hari Raya Sebulan itu Bidaah?" sila rujuk link berikut untuk bacaan lanjut: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3499-al-kafi-1296-sambut-hari-raya-sebulan-itu-bid-ah  

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal.

Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi pada sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh nabi SAW.

Namun orang ramai dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat 6 Syawal disamping sibuk melakukan ziarah-menziarahi sepanjang bulan Syawal serta tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.