
ALOR SETAR – Polis mengesahkan objek menyerupai bom tangan yang ditemukan bersama sekeping nota berbaur ugutan di sebuah kilang papan di Bukit Selambau, Sungai Petani kelmarin adalah palsu dan diperbuat daripada kayu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, perkara itu disahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) yang membuat siasatan di lokasi penemuan objek tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati ia bukan bom yang sebenar. Ia diperbuat daripada kayu yang dibentuk seperti bom tangan serta disertakan satu nota bertulis ‘berhenti operasi’. Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kita masih berhubung dengan pihak syarikat bagi menyiasat semua aspek,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Bitcoin di sini hari ini.
Kata beliau, polis sedang meneliti pelbagai kemungkinan termasuk motif di sebalik kejadian itu dan sama ada ia mempunyai kaitan dengan isu dalaman syarikat.
“Biasanya kita akan lihat sama ada wujud unsur ketidakpuasan hati dalam kalangan pekerja. Bagaimanapun, berdasarkan maklumat syarikat, tiada pemberhentian pekerja atau penamatan kontrak secara besar-besaran berlaku. Pekerja tempatan hanya seramai 36 orang manakala selebihnya merupakan pekerja asing yang memiliki permit kerja sah,” ujarnya.
Menurutnya, polis turut menghantar sampel objek dan bahan yang ditemui pasukan forensik di lokasi ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan bukti termasuk profil asid deoksiribonukleik (DNA).
Tambahnya, siasatan juga diteruskan berdasarkan keterangan seorang saksi yang mendakwa ternampak seorang lelaki di kawasan kejadian dan proses menghasilkan lakaran wajah atau fotofit sedang dijalankan.
“Setakat ini kita telah mengambil keterangan daripada pemilik, pengurus, kerani dengan seorang saksi iaitu tukang kebun. Televisyen litar tertutup di kawasan itu didapati tidak berfungsi,” katanya.
Kosmo! pada kelmarin melaporkan pekerja sebuah kilang papan di Bukit Selambau gempar selepas menemukan objek menyerupai bom tangan bersama sekeping nota berbaur ugutan di hadapan pintu masuk pejabat premis tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – KOSMO! ONLINE
The post Bom tangan di kilang papan disahkan palsu appeared first on Kosmo Digital.






