
PETALING JAYA: “kami tidak pernah menarik laporan (polis).”
Demikian respons penyanyi dan pelakon, Amira Othman apabila didesak warganet agar tidak menarik balik laporan polis terhadap akaun palsu yang memfitnah dia dan suami yang juga pelakon, Fattah Amin di laman sosial sebelum ini.
Menurut Amira, dia dan Fattah tetap meneruskan laporan tersebut untuk mengetahui siapa sebenarnya pemilik akaun ‘Musang Berjanggut’ sebelum mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.
“Penuh kotak mesej saya dengan pesanan dan tag saya serta suami supaya jangan tarik laporan (polis) untuk mencari siapa ‘Musang Berjanggut’ yang telah pun menfitnah kami, bercakap perkara-perkara tidak elok. Saya baca pun seram, tak takut kepada Allah?
“Untuk pengetahuan peminat, kami tidak pernah menarik laporan, kami turun naik buat aduan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Polis Diraja Malaysia malah berjumpa dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk menangani isu ini. Bukankah isu buli siber ini harus dibanteras?
“Kami tidak akan menarik laporan sebab nak tahu siapa ‘Musang’ yang nampak seperti sangat berani berselindung di sebalik akaun palsu. Jadi mungkin dengan kuasa netizen dan kuasa tular, isu ini dapat diselesaikan,” katanya kepada di Thread, baru-baru ini.
Terdahulu, Fattah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun media sosial Musang Berjanggut kerana berterusan menabur fitnah terhadapnya.
Dalam pada itu, Amira memaklumkan masalah buli siber tidak akan selesai jika mekanisme untuk membasmi dan menamatkan isu tersebut tidak diwujudkan.
“Selagi tidak ada mekanisme yang diwujudkan untuk menamatkan semua ini, selagi itulah tidak akan selesai dan berleluasa sebab akaun palsu ini tidak takut kerana Malaysia tidak ada tindakan tegas,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Amira turut mempersoalkan peranan Suruhanjaya Komunikasi dalam menangani perkara tersebut.
“Jadi saya ingin bertanya apa fungsi Suruhanjaya Komunikasi? Hujung-hujung mereka cakap ‘jangan baca’.
“kami kalau tak baca dan tak respon pun rasanya ia nya semakin melampau. Dan dikuathiri ia memudaratkan mental dan emosi sesiapa sahaja yang kena,” jelasnya.
The post Selagi tidak ada mekanisme diwujudkan, selagi itu akaun palsu berleluasa – Amira Othman appeared first on Utusan Malaysia.






