Bomba ambil masa empat jam padam kebakaran di dua buah kilang, asrama pekerja

25 May 2026 • 9:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bomba ambil masa empat jam padam kebakaran di dua buah kilang, asrama pekerja
Kebakaran melibatkan dua buah kilang dan sebuah asrama pekerja yang terletak di dalam sebuah gudang di Simpang Ampat, Juru.

SIMPANG AMPAT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengambil masa hampir empat jam untuk memadam kebakaran membabitkan dua buah kilang dan sebuah asrama pekerja di Kawasan Industri Ringan Juru, di sini pada malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu, kebakaran melibatkan sebuah kilang minuman kesihatan dan kilang kabinet dapur serta gudang kitar semula barangan plastik.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi 13 minit kemudian.

Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Bandar Perda dan BBP Sungai Bakap selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

“Kebakaran melibatkan dua unit kilang lot berkembar dua tingkat kelas A dengan keluasan setiap unit dianggarkan 50 x 100 kaki persegi.

“Kebakaran turut melibatkan sebuah asrama pekerja jenis tidak kekal berkeluasan 20 x 30 kaki persegi yang terletak di dalam gudang kitar semula barangan plastik berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menambah, anggaran kemusnahan bagi kilang membuat minuman kesihatan adalah kira-kira 15 peratus manakala kilang membuat kabinet dapur kira-kira 40 peratus.

"Sementara itu, asrama pekerja milik yang terletak dalam gudang kitar semula pula mengalami kemusnahan sehingga 90 peratus. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah ‘offensive’, ‘defensive’ dan ‘fire break’ bagi mengawal serta mengelakkan api merebak ke premis berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.03 malam dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.22 malam sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca kemerbahayaan di lokasi,” ujarnya lagi.

Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.23 tengah malam dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.

“Semua penghuni termasuk seorang pekerja warga Myanmar, seorang pekerja warga Vietnam, dua pekerja warga tempatan dan tiga pekerja warga Nepal berjaya menyelamatkan diri.

"Operasi melibatkan 30 anggota termasuk pegawai kanan bersama lima jentera dari JBPM. Turut membantu di lokasi ialah polis, ambulans St John serta beberapa PBS termasuk PBS Juru, Kampung Jawi, Permatang Pauh, Sungai Jawi dan Batu Maung," katanya lagi.