Bomba cadang garis panduan keselamatan pengecasan EV di kediaman

LocalCars
18 Aug 2026 • 4:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membawa cadangan mewujudkan garis panduan keselamatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di kediaman kepada kerajaan susulan peningkatan penggunaan kenderaan berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, perkara itu penting diberi perhatian berikutan pemantauan JBPM terhadap pendawaian di rumah adalah terhad, khususnya selepas pemutus litar miniatur (MCB).

“Jika membeli pengecas kenderaan elektrik secara berasingan, pastikan pengecas itu mematuhi standard dan piawaian keselamatan. Pemasangan pula, pastikan syarikat yang berdaftar dan bertauliah memeriksa pendawaian, termasuk saiz kabel MCB sebelum ia dilakukan,” katanya.

Nor Hisham berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Hub Kemahiran Kebombaan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses mengecas biasanya mengambil masa selama tujuh hingga lapan jam secara berterusan, justeru risiko kebakaran akibat masalah elektrik tetap ada.

“Berdasarkan rekod tiga tahun lepas, kira-kira 25 kes kebakaran melibatkan EV daripada empat kategori direkodkan JBPM, namun jumlah itu tidak menunjukkan peningkatan mendadak dari tahun ke tahun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan jumlah EV di jalan raya memerlukan kajian lanjut bagi menentukan kadar kejadian berbanding jumlah keseluruhan kenderaan elektrik yang digunakan.

“Antara hipotesis yang sedang diteliti ialah kemungkinan kebakaran berpunca daripada kenderaan itu sendiri, pengecas, stesen pengecas atau pendawaian yang menghubungkan sistem berkenaan,” katanya.

Mengulas kebakaran sebuah kenderaan EV di Cheras, Ahad lalu, beliau berkata, kejadian itu masih dalam siasatan dan JBPM belum membuat kesimpulan bahawa ia berpunca daripada kenderaan berkenaan.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, JBPM kini menggunakan pendekatan latihan praktikal terhadap peserta Hub Kemahiran Kebombaan bagi melahirkan individu yang mampu menjadi ‘force multiplier’ kepada pasukan bomba ketika kecemasan.

Tambahnya, program itu merupakan kolaborasi JBPM dengan Human Resources Development Corporation (HRD Corp), antara lain bagi membantu operator bangunan menyediakan Pengurus Keselamatan Kebakaran (Fire Safety Manager) dan Pegawai Keselamatan Kebakaran (Fire Safety Officer) di bangunan yang digazetkan di bawah perakuan bomba.

Majlis hari ini membabitkan operator bangunan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dengan seramai 1,793 peserta. – UTUSAN

The post Bomba cadang garis panduan keselamatan pengecasan EV di kediaman appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved