
KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 kes kebakaran membabitkan kenderaan elektrik (EV) direkodkan dalam tempoh tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, statistik itu tidak menunjukkan peningkatan ketara walaupun jumlah kenderaan EV di negara ini semakin bertambah.
“Berdasarkan statistik kita untuk tempoh tiga tahun lalu, terdapat kira-kira 25 kes baharu melibatkan EV daripada empat kategori.
“Jumlah itu tidak menunjukkan peningkatan, pada asasnya masih statik dari tahun ke tahun. Namun, sekarang terdapat lebih banyak EV dan kita belum membuat perbandingan berdasarkan nisbah jumlah kenderaan EV,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Hub Kemahiran Kebombaan (HKK) JBPM di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Mengulas tentang kejadian kebakaran sebuah kereta di Cheras, kelmarin yang dikaitkan dengan EV, beliau berkata, pihaknya masih belum membuat kesimpulan tentang punca sebenar insiden berkenaan.
Katanya, berdasarkan maklumat saksi dan pemilik di lokasi, antara hipotesis yang sedang diteliti adalah kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan EV, sistem pengecasan atau aspek pendawaian.
“Kita tidak boleh membuat kesimpulan lagi dan perlu menunggu hasil siasatan,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, sebuah rumah teres dua tingkat di berhampiran Surau At Taqwa, Jalan Murni 10, Alam Damai, Cheras, musnah dalam kebakaran awal pagi, kelmarin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kuala Lumpur, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah EV yang sedang dicas di bahagian foyer rumah. – KOSMO! ONLINE
The post 25 kes kebakaran babit EV dalam tempoh 3 tahun appeared first on Kosmo Digital.






