
Bomba Jelas Sebab Khidmat Anjing Pengesan K9 Tidak Diguna Dalam SAR Jaslinda
Kehilangan Jaslinda Saludin di kawasan Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu terus mencetuskan perhatian ramai.
Lebih-lebih lagi Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang telah digerakkan dalam mengesan keberadaan mangsa oleh pelbagai agensi pihak berkuasa sehingga hari ini berjaya menemuinya.
Insiden ini turut meraih simpati rakyat Malaysia yang mengikuti rapat perkembangan semasa melalui laporan berita dan media sosial.
Segala doa dipanjatkan rata-rata orang ramai agar wanita berusia 49 tahun itu segera ditemui dalam keadaan selamat.
Namun, dalam perkembangan operasi tersebut, timbul pelbagai persoalan daripada orang ramai, antaranya mengapa pihak bomba tidak menggunakan khidmat anjing pengesan K9 dalam usaha SAR mengesan mangsa di kawasan kejadian.
Persoalan ini menjadi perhatian kerana Unit K9 sering dianggap antara aset penting dalam operasi mencari dan menyelamat.
Oleh itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak tampil menjelaskan keputusan tidak menggunakan Unit K9 dalam operasi tersebut.
Kenapa Tidak Menggunakan Khidmat K9 Dalam Operasi SAR Gunung Batu Putih?
Soalan ini sering ditanyakan oleh orang ramai dan kami menghargai setiap pandangan yang diberikan.
Untuk makluman, penggunaan Unit K9 dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bergantung kepada pelbagai faktor termasuk keadaan muka bumi, cuaca, tempoh kehilangan serta tahap keberkesanan pengesanan bau di lokasi kejadian.
Dalam operasi SAR Gunung Batu Putih, pasukan penyelamat berhadapan dengan kawasan hutan gunung yang sangat luas, curam, berbatu, berhutan tebal serta keadaan cuaca yang tidak menentu.
Selain itu, operasi yang telah berlangsung melebihi beberapa hari boleh menyebabkan jejak bau mangsa semakin sukar dikesan.

Pergerakan ramai anggota SAR, hujan, kabus dan tiupan angin juga boleh memberi kesan terhadap keupayaan pengesanan oleh anjing pengesan.
Setiap aset yang digunakan dalam operasi SAR akan dinilai oleh Komander Operasi berdasarkan keadaan semasa, keselamatan pasukan dan keberkesanan pencarian.
K9 merupakan aset yang sangat bernilai dalam operasi SAR, namun penggunaannya perlu disesuaikan dengan keperluan dan situasi di lapangan bagi memastikan peluang pencarian dapat dimaksimumkan.
Terima kasih atas sokongan dan doa yang berterusan kepada semua anggota penyelamat yang bertugas.
Baca juga:





