Bomba sukarela bantu polis potong gari

5 Mar 2026 • 6:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bomba sukarela bantu polis potong gari.

SHAH ALAM – Seorang wanita menempuh detik mencemaskan apabila gari yang dipakai pada tangannya tidak dapat dibuka selepas dipercayai mengalami kerosakan dalam satu kejadian di Balai Polis Saujana Utama, di sini, pada 27 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira tengah malam itu, Balai Polis Saujana Utama terpaksa mendapatkan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama bagi membantu membuka gari yang tersekat pada tangan mangsa.

Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan bantuan pada jam 12.41 tengah malam sebelum seramai enam anggota bersama sebuah jentera ringan jenis Vehicle First Response Vehicle (VFRV) digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut kenyataan itu, pasukan terbabit tiba di Balai Polis Saujana Utama kira-kira 10 minit kemudian iaitu pada jam 12.51 tengah malam bagi menjalankan operasi khidmat khas membuka gari berkenaan.

“Setibanya di lokasi, didapati gari tersebut tidak dapat dibuka seperti biasa dipercayai akibat mengalami kerosakan pada mekanismenya.

“Cubaan membuka gari tersebut telah dilakukan oleh pasukan bertugas, namun usaha berkenaan masih gagal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, selepas mendapat persetujuan daripada pihak polis, anggota bomba sukarela terpaksa memotong gari tersebut menggunakan alat pemotong khas bagi membolehkan ia ditanggalkan daripada tangan mangsa dengan selamat.

Operasi tersebut berjaya diselesaikan tanpa sebarang kecederaan kepada mangsa sebelum status kes dimaklumkan kepada Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, manakala peralatan operasi dikemas sebelum anggota kembali ke balai.