
KUALA LUMPUR – Dalam kesibukan umat Islam menanti waktu berbuka puasa bersama keluarga, ada yang terpaksa mengetepikan detik berharga itu demi tanggungjawab kepada masyarakat. Itulah pengorbanan yang dipaparkan menerusi satu video tular membabitkan anggota bomba sukarela di Gombak.
Satu video yang dikongsikan semula di platform Threads meraih perhatian ramai apabila memaparkan detik pengorbanan anggota Balai Bomba Sukarela Gombak yang terpaksa meninggalkan juadah berbuka puasa demi memenuhi panggilan kecemasan.
Video berkenaan dimuat naik dengan kapsyen:
“tinggalkan berbuka demi tugas @ balai bomba sukarela gombak”
Menurut perkongsian tersebut, kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu lalu ketika insiden kebakaran di kawasan Pinggiran Batu Caves.
Difahamkan, sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang dan anggota baru menjamah juadah iftar, mereka menerima panggilan kecemasan melibatkan kebakaran. Tanpa berlengah, kesemua anggota terus meninggalkan makanan di hadapan mata dan bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan harta benda serta nyawa penduduk.
Pemilik asal video berkenaan dikenal pasti sebagai Cikgu Zahran.
Wira Tidak Didendang
Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati warga maya. Rata-rata memuji komitmen anggota bomba sukarela yang disifatkan sebagai wira tidak didendang, sentiasa bersedia berkhidmat walaupun terpaksa mengorbankan masa berbuka bersama keluarga.
Ada juga yang meluahkan rasa sebak apabila kedengaran tangisan anak-anak dalam video berkenaan, dipercayai sedih kerana ayah mereka terpaksa bergegas keluar bertugas ketika sedang menikmati waktu berbuka. Namun, ramai yang menitipkan kata-kata semangat, menyifatkan pengorbanan itu sebagai satu tugas mulia demi masyarakat.
Sebagai pasukan sukarela, kebanyakan ahli mempunyai kerjaya tetap dan keluarga sendiri, namun tetap komited untuk berada dalam keadaan siap siaga setiap masa. Pada bulan Ramadan, cabaran menjadi lebih besar apabila waktu bertugas sering bertembung dengan waktu berbuka, solat tarawih dan masa bersama keluarga. Walau bagaimanapun, tanggungjawab menyelamatkan nyawa dan harta benda tetap menjadi keutamaan, selagi diperlukan.
Pengorbanan anggota bomba sukarela ini sekali lagi membuktikan bahawa tanggungjawab kepada masyarakat mengatasi kepentingan peribadi, walaupun ketika saat berbuka puasa.
Salute buat semua anggota yang sentiasa bersedia berkhidmat tanpa mengira waktu. – The Malaysian Update
The post Tinggalkan Berbuka Demi Tugas, Bomba Sukarela Gombak Terus Ke Lokasi Kebakaran appeared first on The Malaysian Update.



