Seorang anggota bomba menemui pergelangan tangan manusia yang terputus Ketika memadamkan sebuah kereta terbakar dalam kejadian berdekatan Hospital Bahagia Ulu Kinta. Namun, mangsa tidak ditemui di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, Mohd Jamaluddin Mat Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran yang membabitkan kereta Toyota Vios itu yang telah terbakar hingga 95 peratus pada jam 11.16 pagi.
Difahamkan, sebelum kereta itu terbakar, berlaku pergaduhan yang membabitkan sekumpulan individu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tiga lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 30 tahun mengalami kecederaan parah selepas diserang oleh kira-kira 20 individu yang memakai topeng dan bersenjata.
Siasatan lanjut mendapati, kejadian pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan dadah. Polis telah menahan tiga lelaki berumur antara 23 hingga 37 tahun untuk membantu siasatan. Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh esok (Isnin) untuk permohonan reman.
Polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas. Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah, hampir putus pergelangan tangan kiri, putus pergelangan tangan kiri dan putus urat tapak tangan kiri dan kini sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Sumber: Harian Metro
The post Bomba temui pergelangan tangan manusia ketika padam kereta terbakar appeared first on The Reporter.

