
GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang wanita Orang Asli hamil yang mengalami pendarahan dari Pos Hau untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Gua Musang, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor Penolong Penguasa Bomba Mohd Rizzan Jefri berkata pesakit Juraini Alang, 34, yang hamil enam bulan dipindahkan menggunakan helikopter Agusta A109E.
Beliau berkata seorang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengiringi pesakit bagi tujuan memantau keadaannya sepanjang penerbangan.
“Anak kapal telah melaksanakan penerbangan dari Subang, Selangor pada 2.50 petang dan tiba di Kampung Tapai, Pos Hau pada 4.10 petang untuk mengambil pesakit yang mengalami pendarahan secara berterusan serta menunjukkan tanda-tanda sakit kontraksi.
“Pesakit dibawa menggunakan pengusung dibantu oleh penduduk kampung dan petugas KKM sebelum pesawat berlepas ke bandar Gua Musang pada 4.20 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Rizzan berkata pesawat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 4.45 petang sebelum menyerahkan pesakit kepada pihak KKM.
“Pesakit dibawa ke Hospital Gua Musang menggunakan ambulans yang tiba lebih awal di BBP dan pesawat berlepas pulang ke pangkalan pada 5.20 petang,” katanya.
Menurut Mohd Rizzan operasi diketuai Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Faizal Abd Latif dibantu pembantu juruterbang Penolong Penguasa Bomba Amir Fitri Salim dan Kuartermaster Mohd Hakimi Che Ali.
“Alhamdulillah pesawat selamat tiba di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor pada 6.30 petang.
“Keadaan cuaca hujan lebat di beberapa tempat serta tiupan angin dengan kelajuan 10 sehingga 20 knot,“ katanya. - Bernama

![[VIDEO] Meninggal Dunia Semasa Mendaki Gunung Tahan, Jenazah Dibawa Keluar Guna Helikopter](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)
