Bomba terima peruntukan RM65 juta bagi pembelian dan penyenggaraan jentera tahun ini
herman
25/07/2024 - 15:05
KUALA LUMPUR 25 Julai - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima peruntukan RM64.8 juta tahun ini untuk perolehan baharu dan penyenggaraan jentera serta kelengkapan bomba.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perunukan itu termasuk bagi menambah baik 30 unit Fire Rescue Tender (FRT) dan penggantian 10 unit bas bomba.
"Selain itu, peruntukan itu juga merangkumi kerja penyelenggaraan helikopter dan aircraft refuellent serta penyelenggaraan kenderaan bomba," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Sabah, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Kor Ming berkata, pada tahun ini kerajaan meluluskan peruntukan RM53.8 juta bagi projek baharu fizikal binaan yang merangkumi pembinaan baharu, naik taraf dan penyelenggaraan fasiliti kebombaan termasuk balai dan kuarters.
Menurutnya, bagi projek di bawah pusingan keempat Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), kerajaan meluluskan sebanyak RM267.6 juta menerusi perbelanjaan pembangunan kepada JBPM merangkumi 17 projek baharu dan 47 projek sambungan di seluruh negara.
Sementara itu, katanya di Sabah sebanyak enam projek baharu dan sambungan sedang dilaksanakan ketika ini iaitu di Telupid, Lahad Datu, Beaufort, Pitas, Nabawan dan Merotai.
"Ketika ini Sabah dilengkapi sebanyak 27 balai bomba termasuk yang baru beroperasi, BBP Putatan, menjadikan negeri ini mempunyai jumlah balai bomba terbanyak di seluruh negara," ujarnya. - DagangNews.com




