
PELANCARAN platform penstriman digital Borneo.TV mencetuskan reaksi kurang senang daripada sebahagian besar pemain industri kandungan tempatan apabila mereka tidak dilibatkan dalam pengurusan awal.
Dalam surat terbuka kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (Safva) Chester Pang menyifatkan kemunculan platform itu sebagai “datang bagai guruh di tengah hari”.
“Safva mengambil maklum mengenai pengumuman pelancaran platform penstriman digital Borneo.TV oleh IB Media Consultant Sdn Bhd seperti yang dilaporkan dalam hebahan media rasmi pada 1 Julai lalu.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Usaha ini merupakan satu perkembangan positif dalam memperluas capaian kandungan berkaitan Sabah dan Borneo menerusi medium digital.
“Bagaimanapun berita ini menimbulkan rasa terkejut dan sedikit terkilan dalam kalangan sebahagian besar pemain industri kandungan tempatan.
“Ini kerana tiada sebarang libat urus atau kajian awal dilakukan dengan mana-mana pertubuhan pemegang taruh yang terlibat dalam industri ini yang mempunyai misi untuk mewujudkan ekosistem yang tersusun, telus dan tidak mengambil kesempatan atas ketirisan dalam industri kreatif di Sabah.
“Kekurangan perbincangan awal ini telah menyebabkan ramai pihak dalam ekosistem kreatif Sabah berasa terpinggir seolah-olah suara serta peranan penting mereka tidak diperlukan dalam pembangunan platform digital utama negeri ini,” katanya.
Menurutnya lagi memandangkan pelancaran Borneo.TV bukan gimik pilihan raya Safva turut memohon pencerahan terhadap beberapa persoalan antaranya: Dasar dan prosedur pengurusan kandungan untuk penyertaan penerbit tempatan; Garis panduan teknikal dan kriteria pemilihan kandungan; Saluran komunikasi rasmi antara pihak pengendali platform dan pemain industri kandungan kreatif di Sabah.
Justeru itu beliau berkata Safva berharap agar penglibatan aktif pemegang taruh industri kreatif Sabah akan dipertimbangkan dalam pembangunan dan pengisian platform digital negeri pada masa akan datang.
“Untuk makluman Yang Amat Berhormat Safva merupakan ahli Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) yang mewakili Sabah di peringkat nasional.
“Selama ini Safva sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Finas, RTM dan pemegang taruh lain untuk memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan kreatif digital.
“Adalah menjadi harapan kami agar usaha seperti ini turut mempertimbangkan penglibatan aktif pemegang taruh industri kreatif Sabah termasuk penerbit, penulis dan penggiat kandungan digital tempatan dalam pembangunan serta pengisian platform digital negeri.
“Pihak Safva sedia memberi kerjasama untuk menyokong agenda pendigitalan kandungan tempatan yang selari dengan pembangunan ekonomi kreatif negeri Sabah,” katanya.
Ketua Menteri pada Selasa lalu melancarkan Borneo.TV sebuah platform penstriman baharu yang mengetengahkan wajah, suara dan budaya Sabah ke peringkat antarabangsa.
Platform dengan slogan “Cerita Sabah di Mata Dunia” itu bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global.
Hajiji turut dipetik berkata pelancaran Borneo.TV adalah langkah tepat dalam era media penstriman Over-The-Top (OTT) yang tidak lagi bergantung kepada saluran konvensional selain memberi peluang kepada pencipta kandungan tempatan menembusi pasaran lebih luas.


