
SIBU - Seorang daripada dua mangsa yang hilang dalam insiden bot karam di Long Menjawah, Belaga, pada Ahad ditemukan lemas, 50 meter dari lokasi kejadian, tengah hari semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat Balavishnu Permaloo, 36, ditemukan terapung pada jam 1.15 tengah hari dan dibawa ke tebing sungai oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurut bomba, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Rhuban Apparoo berusia 30 tahun masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR), masih diteruskan.
Beliau berkata selain pasukan keselamatan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga, operasi SAR yang memasuki hari kedua semalam turut disertai tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Pada 16 Jun, empat pekerja sebuah syarikat penelenggaraan empangan Bakun dikatakan menyewa sebuah bot yang dikemudi oleh seorang penduduk kampung untuk tujuan bersiar-siar namun pada kira-kira 4.30 petang, bot tersebut telah karam akibat arus deras di Jeram Menjawah.
Akibatnya, dua daripada pekerja syarikat itu hilang dibawa arus deras manakala tiga lagi iaitu dua pekerja syarikat dan jurumudi terselamat. - BERNAMA
