Bot karam: Dua pemancing mungkin hilang sampai Lumut - Maritim Malaysia

17 Sep 2026 • 12:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bot karam: Dua pemancing mungkin hilang sampai Lumut - Maritim Malaysia
Maritim Malaysia melaksanakan operasi SAR pemancing yang dilaporkan hilang di sekitar perairan One Fathom Bank.

KLANG - Dua pemancing yang masih hilang selepas bot dinaiki mereka karam dilambung ombak kira-kira setinggi empat meter pada Ahad lalu dipercayai hanyut sehingga ke perairan Lumut, Perak.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Leftenan (M) Mohd Syafiq Sazali berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan keadaan semasa operasi pencarian serta penemuan mayat salah seorang mangsa, Mohd Shahril Abd Rahman, 43, di perairan Hutan Melintang Perak pada Rabu.

"Jarak mayat tersebut ditemui dengan lokasi hilang di perairan One Fathom Bank adalah 103.71 kilometer.

"Kita jangkaan radius dua pemancing hilang itu sehingga Lumut, Perak," katanya ketika ditemui di Pos Pangkalan Hadapan Jeti Sementa di sini pada Khamis.

Mohd Syafiq berkata, susulan perkembangan itu, pencarian dari udara diperluaskan dari perairan Bagan Nakhoda Omar sehingga ke Lumut, Perak.

"Bagi pencarian di laut pula, ia melibatkan dua kapal Maritim Malaysia dan sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) dari kawasan One Fathom Bank sehingga Tanjong Karang.

"Pencarian turut dibantu pasukan Bantuan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia bagi mengesan mangsa di perairan dalam sempadan negara jiran,” katanya.

Mohd Syafiq berkata, setakat ini operasi pencarian belum menggunakan dron, manakala keadaan jerebu dan laut bergelora menjadi antara cabaran utama pasukan penyelamat.

Untuk rekod, dua lagi mangsa yang masih belum ditemui ialah Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37 dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49.

Pada Rabu media melaporkan mayat seorang lelaki yang ditemui diikat pada tong serta memakai jaket keselamatan di perairan Hutan Melintang, Perak disahkan sebagai Mohd. Shahril.

Mangsa dikenal pasti berdasarkan pakaian iaitu baju-T lengan panjang berwarna gelap serta bentuk telinga.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved