Satu lagi mayat dipercayai pemancing ditemukan di perairan Perak

17 Sep 2026 • 6:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Satu lagi mayat dipercayai pemancing ditemukan di perairan Perak
Reaksi ahli keluarga mangsa yang hilang di perairan One Fathom Bank berdekatan Pulau Ketam ketika menanti maklumat terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC), Jeti Sementa Klang pada Khamis. Foto Bernama

KLANG - Satu lagi mayat dipercayai pemancing yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank berdekatan Pulau Ketam di sini ditemukan di sekitar perairan Hutan Melintang, Perak petang tadi.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Leftenan Mohd Syafiq Sazali berkata, mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan terapung oleh nelayan tempatan pada jam 4.26 petang.

"Penemuan itu kemudian segera dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak bagi tindakan lanjut.

"Kapal Maritim (KM) Nusa yang melakukan operasi pencarian bergerak ke lokasi penemuan yang terletak kira-kira tiga batu nautika persegi di sempadan perairan Selangor dan Perak," katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Sementa di sini pada Khamis.

Mohd Syafiq berkata, lokasi penemuan terbaru itu berada pada jarak dua batu nautika daripada mayat mangsa pertama Mohd Shahril Abd Rahman yang ditemukan semalam.

"Mayat mangsa yang memakai jaket keselamatan itu akan dibawa ke Jeti Hutan Melintang. Proses lanjut berhubung pengecaman identiti mangsa dengan ahli keluarga atau waris akan dilakukan pihak polis," katanya.

Bot dinaiki tujuh pemancing dipercayai terbalik akibat ribut, ombak kuat

Suasana hiba di jeti, keluarga buat pengecaman mayat pemancing

Tinjauan Bernama di sekitar PHC di sini mendapati suasana pilu menyelubungi lokasi itu yang dipenuhi puluhan ahli keluarga mangsa sejak pagi Khamis.

Pada Isnin lepas, Maritim Malaysia Selangor melancarkan SAR selepas menerima laporan berhubung kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank pada jam 3.35 pagi.

Empat daripada mereka ditemukan selamat di perairan Sekinchan pada hari kedua operasi itu sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat Mohd Shahril Abd Rahman, 43, di perairan Hutan Melintang manakala dua lagi yang masih hilang ialah Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved