Bot karam: Operasi SAR mangsa ditamatkan hari ini

16 May 2026 • 9:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bot karam: Operasi SAR mangsa ditamatkan hari ini
Operasi mencari dan menyelamat mangsa insiden bot karam di perairan Pulau Pangkor ditamatkan sepenuhnya pada Sabtu. Foto Bernama

IPOH - Operasi mencari dan menyelamat mangsa insiden bot karam yang membawa migran Indonesia di sekitar perairan Pulau Pangkor pada 11 Mei, ditamatkan sepenuhnya pada Sabtu selepas enam hari.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan operasi itu dihentikan 7 petang tadi, susulan tiada  penemuan baharu dikesan di sekitar kawasan pencarian.

Setakat ini sebanyak 39 mangsa telah ditemukan, membabitkan 23 individu selamat manakala 16 lagi disahkan meninggal dunia.

"Keterangan awal yang diperoleh pada hari pertama operasi menyatakan jumlah keseluruhan mangsa seramai 37 orang, namun angka itu dipercayai tidak tepat,” menurut kenyataan itu.

Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh wanita dihantar ke Hospital Taiping dan Teluk Intan, untuk bedah siasat dan pengecaman. 

Selain Maritim Malaysia, operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), selain komuniti nelayan sekitar perairan tersebut.

Insiden berlaku pada 11 Mei, melibatkan sebuah bot yang dipercayai membawa migran warga Indonesia karam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor, ketika dalam perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia. - Bernama