
KLANG – Satu lagi mayat dipercayai pemancing yang hilang selepas bot dinaiki karam di perairan One Fathom Bank, Ahad lalu, ditemukan terapung dengan memakai jaket keselamatan di sekitar perairan Hutan Melintang, Perak, petang ini.
Mayat lelaki berkenaan ditemukan kira-kira pukul 4.26 petang oleh sebuah bot nelayan sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak.
Pegawai Operasi APMM Selangor, Leftenan (M) Mohd. Syafiq Sazali berkata, Kapal Maritim (KM) Nusa yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) kemudian digerakkan ke lokasi berkenaan.
Katanya, lokasi penemuan mayat terbaharu itu kira-kira 5.5 kilometer dari sempadan perairan Selangor dan Perak.
“Mayat terbaharu ini ditemui pada jarak kira-kira 3.7 kilometer dari lokasi mayat Mohd. Shahril Abd. Rahman ditemukan semalam.
“Mayat itu memakai jaket keselamatan dalam keadaan terlangkup,” katanya ketika ditemui Pos Pangkalan Hadapan Jeti Sementa di sini, hari ini.
Beliau menambah, mayat tersebut akan dibawa dan didaratkan di Jeti Hutan Melintang.
“Proses pengecaman akan dilakukan bagi mengenal pasti identiti mayat itu,” jelasnya.
Untuk rekod, dua lagi mangsa yang belum dijumpai adalah Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan dua pemancing yang masih hilang selepas bot dinaiki karam dilambung ombak setinggi empat meter berhampiran Pulau Ketam di sini Ahad lalu dipercayai dihanyutkan sehingga ke perairan Lumut, Perak. – KOSMO! ONLINE
The post Bot karam: Satu lagi mayat pemancing ditemukan appeared first on Kosmo Online.






