Bot karam, seorang nelayan warga Indonesia lemas, tiga lagi selamat

21 Jul 2024 • 6:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat mangsa ditemui di Bagan Sekinchan, di Sabak Bernam pada Sabtu.

SABAK BERNAM - Seorang nelayan warga Indonesia ditemui lemas manakala tiga lagi selamat selepas bot kelas C dinaiki karam akibat cuaca buruk di sekitar perairan Pantai Redang, Sekinchan di sini pada Jumaat.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima laporan kejadian itu daripada Balai Polis Sekinchan kira-kira jam 4 petang Sabtu.

Menurut beliau, tiga daripada mangsa berjaya diselamatkan oleh bot berhampiran manakala seorang lagi mangsa dilaporkan hilang.

"Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) kemudian diaktifkan bagi mencari mangsa dengan kerjasama polis, bomba dan komuniti maritim setempat selepas bot itu tenggelam, kira-kira jam 6 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Abdul Muhaimin berkata, mangsa yang hilang kemudian ditemukan tersangkut di jaring pukat di Bagan Sekinchan jam 6.15 petang Sabtu.

Beliau memberitahu, operasi Carilamat itu ditamatkan sepenuhnya jam 9 malam Sabtu dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau insiden kecemasan di laut supaya menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 013-6606652," tambah beliau.