
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan dikendalikan lima nelayan warga Myanmar yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan permit yang sah, di 23 batu nautika barat laut Pulau Kendi dekat sini semalam.
Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata penahanan itu dibuat oleh Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam rondaan rutin pada 7.15 malam.
“Pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar berusia lingkungan 19 hingga 44 tahun.
‘’Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mereka mendapati, lima lelaki itu tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan tiada surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia untuk bekerja sebagai nelayan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya semua mereka ditahan dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
Beliau berkata bot, peralatan menangkap ikan dan hasil laut sebanyak 300 kilogram turut dirampas untuk siasatan lanjut dan pihaknya memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan pendatang tanpa izin untuk bekerja. -Bernama
