Boumous wira Selangor, kekalkan rekod sempurna Liga Super

LocalFootball
1 Nov 2026 • 11:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Boumous wira Selangor, kekalkan rekod sempurna Liga Super
Selangor FC menewaskan Star City FC 1-0 menerusi jaringan Hugo Boumous untuk mencatat kemenangan keenam berturut-turut dan kekal di tangga kedua Liga Super 2026/2027. Foto Selangor FC

JARINGAN tunggal penyerang import dari Perancis, Hugo Boumous memastikan Selangor FC meneruskan rentak cemerlang dengan mencatat kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan Liga Super 2026/2027 selepas menewaskan Star City FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam ini.

Pada aksi itu, Boumous membuka akaun jaringannya musim ini apabila mudah menolak masuk hantaran ketua pasukan, Chrigor Moraes dari sebelah kanan pada minit ke-16 untuk meletakkan skuad Gergasi Merah di hadapan.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, Star City hampir menyamakan kedudukan lima minit kemudian, namun rembatan kencang pemain tengah kelahiran Brazil, Pedro Santos Filho dari luar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Selangor berpeluang menggandakan kelebihan pada minit ke-36, tetapi percubaan deras Moraes berjaya dipatahkan penjaga gol Star City, Muhammad Farhan Abdul Majid sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Memasuki babak kedua, Muhammad Farhan sekali lagi menjadi penyelamat pasukan pelawat apabila bertindak cemerlang dengan melayangkan badan untuk menepis sepakan percuma deras pemain import Selangor dari Brazil, Vitor Pernambuco pada minit ke-49.

Bagaimanapun, Selangor terpaksa mengharungi detik cemas apabila Moraes dilayangkan kad merah selepas bertindak menolak Pedro Santos pada minit ke-82, sekali gus memaksa tuan rumah beraksi dengan 10 pemain sepanjang baki perlawanan.

Kekurangan seorang pemain tidak menggugat ketahanan skuad kendalian Kim Pan Gon yang berjaya mempertahankan kelebihan tipis itu sehingga wisel penamat, sekali gus mengekalkan rekod kemenangan sempurna mereka musim ini.

Kemenangan berkenaan menyaksikan Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 18 mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mendahului carta menerusi kelebihan perbezaan jaringan.

Star City pula kekal di kedudukan ke-10 dengan mengumpul lima mata. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved