liza06/10/2026 - 11:50 Kerjasama itu bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan penyelenggaraan pesawat serta mengukuhkan integrasi antara perancangan kejuruteraan, perkhidmatan teknikal, rekod, kebolehpercayaan dan aktiviti penyelenggaraan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt – MHS Aviation Berhad (MHS), anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Berhad (BHB) bekerjasama dengan Ammstro Sdn Bhd bagi melaksanakan projek perintis untuk mendigitalkan operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter.
Kerjasama itu bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan penyelenggaraan pesawat serta mengukuhkan integrasi antara perancangan kejuruteraan, perkhidmatan teknikal, rekod, kebolehpercayaan dan aktiviti penyelenggaraan barisan.
Pengarah Urusan Kumpulan BHB, Kolonel (Kehormat) Dato’ Indera Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata kerjasama itu mencerminkan peranan strategik Boustead dalam memajukan industri aeroangkasa Malaysia serta mengembangkan perkhidmatan penyelenggaraan dan kejuruteraan bernilai lebih tinggi.
“Kerjasama itu turut menyokong pembangunan bakat dan keupayaan tempatan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, kejuruteraan serta MRO.
“Kami melihat kerjasama ini dapat menyokong aspirasi Kerajaan untuk menjana pendapatan industri dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menerusi pembangunan keupayaan MRO baharu dalam teknologi yang sedang berkembang,” katanya pada majlis pertukaran dokumen yang diadakan sempena Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (CyberDSA) 2026.
Fokus kepada pendigitalan pengurusan MRO
Ahmad Sabirin berkata kerjasama itu juga dijangka meningkatkan keupayaan antara pemain industri bagi membangunkan sektor penerbangan yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.
Antara bidang yang diberi tumpuan termasuk perisian dokumentasi kejuruteraan untuk helikopter serta pengurusan kelayakan udara berterusan yang memantau aktiviti MRO dan keadaan pesawat sayap rotor.
Kerjasama strategik itu meliputi beberapa bidang utama termasuk pengurusan Program Penyelenggaraan Pesawat, Arahan Kelayakan Udara, kawalan pengubahsuaian dan penerbitan serta perancangan tugasan dan pakej kerja penyelenggaraan berjadual.
Ia turut merangkumi pengendalian pengeluaran, pusat kawalan operasi, penyeliaan penyelenggaraan serta pengurusan inventori.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHS, Mohd Fakhrul Arifin Adinan berkata kerjasama itu menunjukkan komitmen syarikat dalam membangunkan keupayaan penerbangan generasi akan datang di Malaysia.
Sistem perisian untuk dua jenis helikopter
Beliau berkata MHS bersama Ammstro sedang membangunkan asas bagi perisian kejuruteraan MRO yang boleh diperluaskan pada masa depan, selain memastikan proses merekod data dapat dilakukan dengan lebih lancar dan cekap.
Ketua Pegawai Eksekutif Ammstro, Shamsul Afendi Saleh pula berkata kerjasama itu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pendigitalan penyelenggaraan melalui Perisian Pengurusan Penyelenggaraan Pesawat (Aircraft Maintenance Management Software).
Katanya, sebagai syarikat tempatan bebas pertama yang memiliki program digital seumpama itu, Ammstro mahu membantu merapatkan jurang pendigitalan dalam kalangan pemain industri Malaysia menerusi ekosistem penyelenggaraan pesawat yang menyeluruh.
Di bawah kerjasama itu, Ammstro akan menyediakan perisian pengurusan penyelenggaraan pesawat (AMMS) dan sokongan teknikal bagi membolehkan MHS menggunakan sistem berkenaan untuk armada helikopternya.
Sistem itu direka untuk meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi helikopter dengan menyokong penyelenggaraan tepat pada masanya serta memberikan peringatan secara automatik apabila penyelenggaraan berjadual hampir atau sudah tiba masanya.
Projek perintis selama enam bulan itu dijangka meliputi aktiviti MRO bagi dua jenis helikopter, tertakluk kepada penilaian lanjut oleh pasukan kejuruteraan.
Sekiranya projek berkenaan berjaya, sistem itu berpotensi diperluaskan kepada armada sedia ada MHS serta helikopter yang diperoleh pada masa hadapan.
MRO helikopter melibatkan pelbagai data dan pemboleh ubah termasuk jumlah jam penerbangan serta jangka hayat berdasarkan kalendar bagi komponen dan alat ganti.
Pendigitalan sistem MRO akan menggabungkan dokumentasi kejuruteraan dengan aktiviti penyelenggaraan sebenar, termasuk kerja penyelenggaraan berjadual dan tidak berjadual, sekali gus meningkatkan ketepatan serta kebolehcapaian rekod dan mengurangkan masa pengurusan aktiviti penyelenggaraan.
Fakhrul berkata kepakaran teknikal dan kawal selia AMMSTRO, digabungkan dengan pengalaman operasi MHS selama lebih 40 tahun serta pematuhan terhadap piawaian penerbangan, dijangka mempercepatkan pembangunan dan pelaksanaan perisian MRO itu di Malaysia.
Kerjasama tersebut turut menjadi asas kepada proses penelitian lanjut termasuk mendapatkan kelulusan kawal selia daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta membangunkan rangka kerja operasi seperti prosedur operasi standard dan manual operasi. - DagangNews.com

