amree22/01/2026 - 09:00 REPLIKA model kenderaan berperisai dari Turkiye yang dipamerkan pada pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) semalam, yang turut menyaksikan kerjasama dengan Boustead Holdings Berhad. Oleh Amree Ahmad amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Jan — Boustead Holdings Berhad terus memperkukuh agenda jangka panjang Malaysia ke arah industri pertahanan bersama rakan teknologi strategik dari Turkiye, Indonesia dan China.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersempena pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) semalam yang merangkumi pembangunan serta pemindahan teknologi.
Ini termasuk dalam pembuatan senjata ringan dan peluru, sistem darat berperisai, teknologi laser tenaga tinggi serta sistem berpandu ketepatan yang berdaya tahan, berdikari dan berkualiti tinggi.

"Bagi kerjasama Turkiye, Boustead menjalin perkongsian strategik dengan Otokar meneroka keperluan kenderaan berperisai dan sistem darat Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya dalam kenyataan.
Ia jelas kumpulan tersebut, turut meliputi pelbagai agensi keselamatan, termasuk potensi aktiviti pengeluaran tempatan dan sokongan pembaikan, penyelenggaraan, baik pulih dan pemodenan (RMOM).

Sementara itu, kerjasama Indonesia melalui PT Komodo Armament memberi tumpuan kepada penubuhan keupayaan pengeluaran tempatan peluru polimer ringan, raifal serangan berasaskan polimer.
Usaha terbaharu berkenaan juga jelas kumpulan tersebut, membabitkan propelan yang direka khusus untuk persekitaran iklim tropika, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

"MoU dengan Huanghu Science and Technology Co Ltd dari China pula meneroka penyetempatan teknologi laser tenaga tinggi melalui penyelidikan dan pembangunanserta pemindahan pengetahuan," katanya.
Selain itu, satu lagi MoU dimeterai dengan Chengdu Hanguang Sifang Technology Co., Ltd. bagi membangunkan keupayaan tempatan dalam teknologi PGK, termasuk integrasi sistem dan R&D gunaan.

"Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, inisiatif ini mencerminkan peranannya sebagai pemangkin pemerkasaan ekosistem industri pertahanan negara.
Kerjasama dengan peneraju teknologi antarabangsa ini akan mempercepatkan pemindahan keupayaan kritikal ke Malaysia, mengukuhkan tahap sara diri, kesiapsiagaan operasi serta rantaian bekalan.
"Usaha Boustead bersama-sama firma dari ketiga-tiga negara ini selari dengan objektif DIPN dan kepentingan keselamatan jangka panjang negara kita sendiri,” katanya. - DagangNews.com

