KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan hari ini melakar sejarah melalui peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang menjadi tonggak dalam memacu transformasi bagi membina Malaysia yang merdeka, berdaulat dan dihormati di persada dunia.
DIPN yang dilancarkan hari ini oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemacu kepada usaha memperkukuh ekosistem pertahanan negara ketika mana dunia berdepan dengan realiti keselamatan yang semakin rumit, rapuh dan tidak menentu.
Ia sekaligus meletakkan keupayaan negara untuk membangunkan industri pertahanan secara kendiri dan tidak semata bergantung kepada pihak luar dalam menjamin keselamatan negara.
Yang Berhormat Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan memberi komitmen jelas bagi menjayakan pembangunan industri pertahanan negara yang membawa perubahan signifikan kepada dasar-dasar perolehan pertahanan negara.
"Antaranya, dalam setiap perolehan, syarat peratusan kandungan tempatan atau local content akan ditetapkan dengan jelas. Iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus.
"Tiada lagi penglibatan pengeluar peralatan asal (OEM) dalam aktiviti MRO. Bahkan, semua aktiviti penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO) mesti dijayakan oleh syarikat tempatan.
"Melainkan aktiviti MRO dalam tempoh waranti (warranty period) yang boleh dikendalikan oleh OEM sahaja. Dan setiap syarikat tempatan yang terlibat hendaklah menunjukkan inovasi dan penambahbaikan. Yang dapat meningkatkan peratusan local content serta mengurangkan kos.
"Jika mereka gagal ini, kita akan menghentikan kontrak MRO mereka, walaupun mereka syarikat tempatan. Kerana matlamat kita adalah untuk mengutamakan kepentingan negara," kata Khaled ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis Peluncuran (DIPN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Yang Berhormat Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Azhan Md Othman.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata tujuh Projek Pertahanan Nasional (PPN) akan dijayakan di bawah DIPN sebagai projek perintis yang membabitkan usaha menyediakan syarikat tempatan bagi mengambil alih perkhidmatan satelit pertahanan negara dan bakal dimiliki 100 peratus oleh kerajaan.
Kedua, DIPN juga akan membangunkan sistem laser pertahanan negara selari dengan perperangan era baharu yang menggunakan dron dan projek ketiga, pembangunan keupayaan pemasangan dan pembuatan sistem kenderaan darat.
"Keempat, pembangunan keupayaan pemasangan, pembaikan dan pembuatan pelbagai sistem persenjataan.
"Kelima, pengeluaran pasif radar yang tak ada siapa tahu di situ ada radar. Keenam, pengeluaran produk sistem bahan persenjataan berselerak atau kamikaze drone.
"Ketujuh, pembangunan simulator untuk latihan pertahanan," katanya lagi.
Tambah Mohamed Khaled, DPIN adalan pemangkin industri pertahanan negara ke arah mengurangkan kebergantungan kepada negara asing sekali gus memastikan bekalan keperluan pertahanan negara yang lebih terjamin.


