
Walaupun sinonim dengan kejayaan filem F1, Brad Pitt sebenarnya seorang peminat tegar dunia motosikal dan MotoGP. Aktor Hollywood berusia 62 tahun itu secara terbuka mengakui bahawa beliau memiliki seorang idola yang cukup istimewa iaitu legenda MotoGP, Valentino Rossi.
Menurut Pitt, adalah sesuatu yang agak pelik bagi selebriti untuk mempunyai idola, namun Rossi berada di kedudukan berbeza dalam hidupnya. Malah, Pitt mengakui sanggup memberikan segala yang dimilikinya untuk menjadi seperti pelumba Itali itu.
Pitt begitu kagum dengan cara Rossi menunggang motosikal. Baginya, Rossi menjadikan sesuatu yang kelihatan mustahil sebagai seni di atas litar.
“Cara dia menunggang motosikal seperti menari. Ia adalah satu seni yang tulen,” kata Pitt mengenai juara dunia sembilan kali itu.
Minat Pitt terhadap MotoGP bukan sekadar cakap kosong. Beliau pernah mengunjungi paddock, bertemu sendiri dengan Rossi dan turut menjadi pencerita dokumentari MotoGP, Hitting the Apex.
Di garajnya pula terdapat koleksi motosikal menarik seperti Vespa, MV Agusta Brutale 910, Confederate Hellcat F124 dan Ducati Monster 1100S. Jelas, di sebalik statusnya sebagai bintang Hollywood, Brad Pitt tetap seorang biker sejati dan di matanya, Valentino Rossi kekal sebagai idola paling hebat.
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Brad Pitt Akui Valentino Rossi Idola Terbesarnya appeared first on TW Media.
