Brahim’s rancang kembangkan dapur katering di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
9 Jan 2026 • 12:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Brahim’s rancang kembangkan dapur katering di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang image is not available liza09/01/2026 - 12:21

KUALA LUMPUR 9 Jan – Kumpulan syarikat Brahim’s Dewina merancang untuk mengembangkan dapur katering dalam penerbangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) tahun ini bagi memenuhi permintaan yang meningkat berikutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata beliau menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan, terutamanya dari China akan beroperasi ke Pulau Pinang tahun depan yang boleh menyumbang kepada peningkatan ketibaan pelancong ke negeri itu.

 

“Pelancong China datang ke Pulau Pinang kerana ramai penduduk tempatan boleh bertutur dalam bahasa mereka, menjadikan komunikasi lebih mudah. 

 

“Ramai daripada mereka juga menyukai makanan tempatan terutamanya durian udang merah, dan ini telah meningkatkan kekerapan penerbangan.

 

“Pada masa yang sama, saya juga mendengar kerajaan negeri sedang membesarkan lapangan terbang, jadi saya telah memutuskan untuk mengembangkan dapur di PIA bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya.

 

Kini, Brahim’s menyediakan perkhidmatan katering kepada 18 syarikat penerbangan di PIA.

 

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula, Ibrahim berkata subsidiari kumpulan itu, Brahim’s Food Services Sdn Bhd kini menyediakan perkhidmatan katering kepada 31 syarikat penerbangan yang mendarat di KLIA.

 

Ini termasuk 10 syarikat penerbangan antarabangsa terkemuka seperti Qatar Airways, Emirates, Japan Airlines (JAL), All Nippon Airways (ANA) dan Turkish Airlines.

 

Beliau berkata Brahim’s Food Services kini berada dalam keadaan stabil selepas mengatasi isu berkaitan Lesen Pengendalian darat (GHL) yang kini telah dikeluarkan.

 

Dalam pada itu, Ibrahim berkata kumpulan itu juga merancang untuk memulihkan semula kilangnya di Amman, Jordan pada awal tahun ini sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyokong bantuan makanan kemanusiaan bagi Gaza.

 

Beliau berkata rakan kongsi Jordan mereka memberikan sokongan penuh terhadap usaha itu.

 

“Kami juga mendapat sokongan lisan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Bank Pembangunan Islam (IDB) di Jeddah.

 

“Bagi meneruskan operasi, kami perlu membaiki dan memulihkan semua peralatan dan mesin-mesin akan memerlukan beberapa kerja penyelenggaraan sebelum pengeluaran penuh dapat dimulakan.

 

“Kami berharap untuk membuka semula kilang itu menjelang suku pertama 2026, jika semua isu pentadbiran dan bukan teknikal dapat diselesaikan,” katanya.

 

Beliau turut berharap sokongan daripada NGO tempatan untuk memulakan inisiatif tersebut.

 

Mengukuhkan Kehadiran Jenama Brahim’s Dalam Pasaran

Walaupun beroperasi dalam persekitaran pasaran yang mencabar, beliau berkata Brahim’s kekal berdaya tahan dan terus memainkan peranan utama dalam industri pembuatan makanan, terutamanya dalam segmen halal.

 

Namun begitu, beliau menekankan bahawa perniagaan teras kumpulan itu kekal sebagai perkhidmatan katering merangkumi syarikat penerbangan, kontrak tentera, dan katering universiti serta berharap dapat mengembangkan kontraknya dengan agensi kerajaan.

 

Menyentuh mengenai persaingan yang semakin sengit dalam sektor pembuatan makanan, beliau berkata Brahim’s masih berada pada landasan yang betul dan terus menunjukkan prestasi baik.

 

“Walaupun terdapat pelbagai produk di pasaran, Brahim’s tetap berpegang kepada proses dan standard kualiti tinggi.

 

“Produk kami akan terus kekal mendapat permintaan. Dengan produk bersijil halal, kami juga telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan,” katanya.

 

Mengenai segmen halal, Ibrahim berkata kumpulan itu telah mendapat pengiktirafan global dengan mematuhi standard yang ketat. 

 

Namun, beliau mencadangkan agar ASEAN mengamalkan peraturan halal yang standard dan seragam untuk memudahkan perdagangan Intra-ASEAN, sama seperti rangka kerja yang digunakan oleh Kesatuan Eropah (EU).

 

“Bagi meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, kita memerlukan peraturan dan kawal selia halal yang seragam serta pengiktirafan bersama, yang juga boleh mendorong produk halal buatan ASEAN tembus ke pasaran dunia,” tambahnya. — BERNAMA
 

Terkini standard
View Original Article