BRICS: Malaysia Zahirkan Hasrat Minta Sokongan Afrika Selatan - PM

Politics
2 Aug 2024 • 8:25 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri menerima buku karya Nelson Mandela sebagai hadiah daripada Dr Naledi Mandisa Pandor - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia telah menzahirkan hasrat agar Afrika Selatan setuju menyokong terhadap penyertaan negara dalam kumpulan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu dinyatakan pada pertemuan bersama mantan Menteri Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan, Dr Naledi Mandisa Pandor di Putrajaya, semalam.

Menurut beliau, Malaysia meskipun berhasrat meminta sokongan Afrika Selatan, kekal memastikan hubungan baik dengan negara-negara lain terpelihara.

image is not available
Gambar PMO

Anwar memberitahu, pertemuan terbabit turut membincangkan situasi terkini di Palestin dan kegagalan dunia menghentikan penindasan dilakukan rejim Zionis.

“Saya juga menyuarakan pendirian tegas serta kutukan keras Malaysia terhadap pembunuhan yang dilakukan kepada Almarhum Ismail Haniyeh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Perdana Menteri mendesak gergasi media sosial, Meta agar berhenti bersikap bacul dan membiarkan diri mereka dijadikan boneka Zionis.

Ia susulan tindakan Meta menurunkan semua hantaran mengandungi ucapan takziah atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.

Haniyeh dan seorang pengawal peribadinya maut dalam serangan Israel ketika berada di Tehran, Iran bagi menghadiri upacara angkat sumpah Presiden baharu negara itu, Dr Dr Masoud Pezeshkian pada Rabu. 

image is not available
Allahyarham Ismail Haniyeh - Gambar Facebook

Serangan berkenaan diberitakan berlaku di kediamannya. 

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, pertemuan bersama Naledi turut menyentuh keperluan memperjuangkan isu-isu berkepentingan negara-negara membangun Global South dan kerjasama yang harus dimainkan.

Anwar memberitahu, beliau juga dihadiahkan sebuah karya kenangan mantan Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, yang mengandungi catatan-catatan dan ucapan-ucapan sewaktu memimpin  negara itu.

Buku berkenaan diiktiraf sebagai terlaris di pasaran bagi menyambung legasi karya beliau sebelum ini, ‘Long Walk to Freedom’.

Naledi berada di Malaysia bagi menghadiri Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia ke-7 (7th World Conference on Islamic Thought & Civilization) anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Perak. - Getaran, 2 Ogos 2024