Brno Uji Keupayaan Brek Dan Ketahanan Pelumba MotoGP

18 Jun 2026 • 1:45 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Brno Uji Keupayaan Brek Dan Ketahanan Pelumba MotoGP

Litar Brno di Republik Czech bakal menjadi antara cabaran terbesar buat pelumba MotoGP hujung minggu ini, khususnya dari aspek sistem brek dan kawalan motosikal ketika membrek. Berdasarkan analisis Brembo, litar sepanjang 5.403 kilometer itu diklasifikasikan sebagai litar yang agak mencabar untuk brek dengan tahap kesukaran 4 daripada 6.

Sepanjang satu pusingan, pelumba perlu menggunakan brek sebanyak lapan kali dengan jumlah masa membrek mencecah 29.5 saat. Daripada lapan zon membrek tersebut, enam dikategorikan sebagai zon membrek berat (High), satu zon sederhana (Medium) dan hanya satu zon ringan (Light). Statistik ini menunjukkan Brno menuntut pelumba sentiasa berada dalam keadaan fokus kerana majoriti selekoh memerlukan nyahpecutan yang agresif.

Apa yang lebih menarik, lima daripada zon membrek di Brno berlangsung sekurang-kurangnya 3.9 saat. Tempoh membrek yang panjang ini bukan sahaja memberi tekanan kepada sistem brek karbon, malah meningkatkan beban fizikal terhadap tangan, bahu dan otot teras pelumba sepanjang perlumbaan.

Walaupun Brno terkenal dengan aliran selekoh yang lancar serta perubahan ketinggian yang unik, pelumba tidak mempunyai banyak masa untuk berehat. Kesilapan kecil ketika memasuki zon membrek boleh menyebabkan kehilangan beberapa persepuluh saat atau membuka ruang kepada pesaing melakukan serangan.

Faktor ini dijangka menjadikan saingan hujung minggu lebih menarik, terutama dalam pertarungan antara pelumba yang mempunyai kestabilan membrek terbaik. Pengurusan suhu brek, pemilihan titik membrek dan konsistensi sepanjang perlumbaan bakal menjadi kunci utama untuk memburu kemenangan di Brno.

Teruskan bersama Two Wheels..!

The post Brno Uji Keupayaan Brek Dan Ketahanan Pelumba MotoGP appeared first on TW Media.