Bryan Leong sambar slot Kejohanan Dunia 2023

8 Apr 2023 • 10:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bryan Leong mencipta kejutan apabila mengesahkan slot ke Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun.

PERENANG muda yang sedang meningkat naik, Bryan Leong mencipta kejutan apabila mengesahkan slot ke Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 30 Julai.

Ia selepas perenang berusia 20 tahun itu melepasi syarat kelayakan kategori B yang ditetapkan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) pada Kejohanan Renang British 2023 dalam acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki di England pada Jumaat.

Kejohanan yang berlangsung di Pusat Sukan Antarabangsa Ponds Forge itu menyaksikan Bryan merakam masa 53.48 saat (s) sekali gus menduduki tangga ke sembilan acara terbabit.

Setiausaha Agung Renang Malaysia (MS) Mae Chen ketika dihubungi berkata, pencapaian diperoleh perenang muda itu merupakan berita gembira buat negara kerana ia membuktikan skuad kebangsaan mampu menampilkan prestasi terbaik tahun ini.

"Kami sangat gembira kerana ada lagi atlet yang mampu melayakkan diri ke kejohanan dunia, kita ada lebih kurang dua bulan lagi berbaki sebelum berlangsungnya kejohanan itu. Kami harap ramai lagi atlet yang dapat layakkan diri ke kejohanan dunia ini," katanya.

Chen berkata, selain Bryan atlet lain yang bakal menggalas cabaran negara ke Fukuoka setakat ini adalah Steve Khiew Hoe Yean, Andrew Goh Zheng Yen dan Phee Jinq En.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved