BSN lantik Mujibburrahman Abd Rashid sebagai Ketua Eksekutif

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BSN lantik Mujibburrahman Abd Rashid sebagai Ketua Eksekutif Image from: BSN lantik Mujibburrahman Abd Rashid sebagai Ketua Eksekutif amree10/11/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov — Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri perbankan, termasuk 18 tahun bersama Bank Simpanan Nasional (BSN), Mujibburrahman Abd Rashid kini diberi tanggungjawab menerajui institusi kewangan itu sebagai Ketua Eksekutif baharu berkuat kuasa pada Selasa.

 

Menurut kenyataan BSN, pelantikan tersebut turut menyaksikan bekas Pemangku Ketua Eksekutif BSN berkenaan mengambil alih kepimpinan bank berkenaan dengan fokus Utama bagi mempercepatkan transformasi perniagaan dan memperluas akses kewangan kepada rakyat Malaysia.

 

Mujibburrahman memulakan kerjayanya bersama-sama BSN pada 1994 sebelum kembali menyertai bank tersebut pada 2018 selepas memegang beberapa jawatan kanan di Bank Islam Malaysia Berhad, termasuk sebagai Pengurus Besar Perbankan Pengguna.

 

"Sepanjang bersama-sama BSN, beliau pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk Timbalan Ketua Eksekutif, Ketua Pegawai Perniagaan dan Pengarah Negeri, selain dalam perbankan runcit, transformasi perniagaan, pelaksanaan strategi serta pengurusan risiko," kata BSN.

 

Terbaharu ujar kenyataan berkenaan, Mujiburrahman menyelia operasi, keutamaan strategik dan prestasi perniagaan BSN sepanjang tempoh sebagai Pemangku Ketua Eksekutif.

 

Pengalaman kepimpinan itu turut menyaksikan beliau memainkan peranan dalam memperkukuh asas aset dan deposit BSN, meningkatkan kecekapan operasi serta memantapkan tadbir urus, selain memperkenalkan penyelesaian kewangan berteraskan keperluan pelanggan.

 

BSN_DagangNews2026

 

Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr Zukri Samat berkata, pengetahuan mendalam Mujibburrahman mengenai bank itu serta rekod kepimpinannya memberikan keyakinan kepada Lembaga Pengarah untuk memacu BSN ke fasa pertumbuhan seterusnya.

 

"Pengalaman luas ini turut membolehkan beliau dapat memahami peranan BSN dalam memperkasa komuniti dan menyokong usahawan di seluruh negara," jelasnya.

 

Mengulas pelantikan itu, Mujibburrahman berkata, beliau komited memacu transformasi serta memperluas akses kewangan dengan dukungan warga kerja dan pihak berkepentingan bagi membuka lebih banyak peluang, memperkasa perniagaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Di bawah kepimpinan baharu itu, BSN akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan mandat sebagai institusi kewangan pembangunan, memperluas rangkuman kewangan, memacu inovasi digital serta meningkatkan pengalaman pelanggan bagi mewujudkan nilai mampan kepada masyarakat di seluruh negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved