amree03/11/2026 - 15:55 MUJIBURRAHMAN Abd Rashid (kiri) dan Ketua Jabatan Pengurusan Cawangan, Deposit, Pembayaran & Rangkuman Kewangan BSN, Noreidayu Harun (tiga dari kanan) menyaksikan seorang murid berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) ketidakupayaan penglihatan membaca Modul Celik Kewangan versi Braille BSN. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov — Lebih 500 murid berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) ketidakupayaan penglihatan di 32 sekolah seluruh negara berpeluang mendapat akses pendidikan kewangan menerusi pengenalan Modul Celik Kewangan versi Braille dilancarkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).
Inisiatif terbaharu itu bertujuan memastikan golongan murid berkenaan tidak tercicir daripada mempelajari asas pengurusan wang, termasuk amalan menabung, perancangan perbelanjaan dan pelaburan sejak usia muda, selaras visi bank tersebut iaitu 'Tiada Rakyat Malaysia Ketinggalan'.
BSN dalam kenyataannya berkata, modul tersebut dibangunkan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan bagi menyediakan bahan pembelajaran kewangan yang boleh diakses MBPK ketidakupayaan penglihatan, selain membantu guru melaksanakan pengajaran secara berkesan.
"Modul berkenaan disusun merangkumi lima bidang utama iaitu wang dan kerjaya, pendapatan dan belanjawan, simpanan dan pelaburan, kredit dan hutang serta perlindungan risiko termasuk takaful," jelas bank berkenaan yang ditubuhkan kerajaan sejak 1974 dengan kini mengendalikan 387 cawangan.
Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, keterangkuman kewangan perlu bermula dengan akses kepada pengetahuan serta peluang membentuk tabiat pengurusan kewangan yang baik, termasuk dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.
Menurut beliau lagi, pendidikan kewangan perlu disampaikan menerusi kaedah yang boleh difahami dan mudah untuk digunakan dalam kehidupan seharian sekali gus memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia tercicir daripada memperoleh pengetahuan tersebut.

Modul Braille itu ujarnya, merupakan kesinambungan kepada Modul BSN Celik Kewangan yang diperkenalkan pada 2023 untuk murid sekolah rendah dan menengah, sebelum dimuat naik ke platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) pada 2024.
"Rangkuman kewangan tidak bermula di kaunter bank. Dengan memperluaskan akses kepada pendidikan
kewangan untuk MBPK ketidakupayaan penglihatan, kami mengambil satu lagi langkah ke arah
memastikan Tiada Rakyat Malaysia Yang Ketinggalan," kata Mujiburrahman.
Pada 2025, BSN turut bekerjasama dengan Todak Academy dan 26 murid di Lembah Klang untuk membangunkan versi modul berasaskan gamifikasi yang turut disediakan menerusi platform DELIMa bagi menjadikan pembelajaran literasi kewangan lebih interaktif.
Modul Celik Kewangan versi Braille itu dilancarkan pada 25 Oktober 2026 oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid bersempena dengan penganjuran Karnival Celik Kewangan 2026 di Shah Alam, Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, BSN turut menerbitkan siri video 'Pilih Untuk Mula' sempena Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober 2026 dengan menampilkan pelakon Beto Kusyairy, Nadiya Nisaa dan Sayf Mikael bagi menggalakkan masyarakat memulakan tabiat menabung konsisten, walaupun sedikit.
Keseluruhan inisiatif itu mencerminkan usaha BSN memperluas akses pendidikan kewangan kepada pelbagai lapisan masyarakat, selaras dengan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 yang turut meletakkan keterangkuman sebagai salah satu keutamaan. - DagangNews.com



