‘Buah last’ kempen, YB Duyong bidas kenyataan DAP

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 5:18 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Buah last’ kempen, YB Duyong bidas kenyataan DAP

PETALING JAYA – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem menegaskan beliau tidak pernah mengambil sebarang kredit daripada bantuan disalurkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bagi membantu Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Kenyataan dibuat Mohd. Noor Helmy itu sekali gus membidas dakwaan dilontarkan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Duyong sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyifatkan beliau sebagai tidak mengenang jasa.

Menurut Mohd. Noor Helmy, beliau menafikan apa dinyatakan Poo Long Suan mengenai isu menumpang kredit untuk orang yang membantu di Duyong.

“Saya tidak pernah mengambil kredit segala usaha dan bantuan yang diberikan Ahli Parlimen Kota Melaka kepada warga Duyong.

“Setiap bantuan yang diberikan oleh beliau saya sebut dalam ucapan. Saya pulangkan kredit itu kepada beliau.

“Begitu juga bantuan yang diberikan oleh menteri PH kepada Duyong, tidak pernah pun saya ambil kredit,” katanya menerusi satu hantaran komen di Facebook hari ini.

Mohd. Noor Helmy membuat hantaran itu sebagai memberi reaksi kepada status dibuat Long Suan yang mempersoalkan tindakan beliau yang didakwa tidak memberikan pengiktirafan terhadap bantuan Kerajaan Madani dalam pelaksanaan tugasnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Noor Helmy berkata, beliau tidak memerlukan sebarang kredit, sebaliknya apa yang menjadi keutamaan ialah rakyat Duyong mendapat manfaat daripada bantuan disalurkan.

“Jangan risau, macam mana saya tekan bila tak dapat, begitu juga saya puji bila dapat.

“Saya tak perlukan kredit. Yang penting orang Duyong dapat manfaat. Dan lagi satu, jangan anggap ianya tolong saya. Kena ingat ada tanggungjawab Ahli Parlimen kepada rakyat, ada tanggungjawab menteri kepada rakyat, ada tanggungjawab negara pada rakyat,” tulisnya.

Terdahulu, Long Suan membuat hantaran di Facebook dengan menyifatkan Mohd. Noor Helmy seolah-olah melaksanakan tanggungjawab tanpa memerlukan hubungan baik dengan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ada yang berpendapat hanya calon BN Datuk Helmy saja melaksanakan tugas seperti tidak perlukan hubungan baik dengan Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri.

“Beliau sendiri menulis dan berucap ketika dalam kempen tanpa sedikit pun memberi kredit dan menyebut nama pihak yang selalu beliau temui dan berbincang untuk memohon bantuan dari kerajaan pusat.

“YB Poay Tiong selaku Ahli Parlimen Kota Melaka sendiri telah beberapa kali dirujuk dan membantu beliau,” katanya.

Jelas Long Suan, jika Mohd. Noor Helmy tidak dapat mengenang jasa, tetapi jangan hingga memadamkan bantuan pernah disalurkan padanya.

“Mungkin saya lawan Datuk Helmy, tapi saya tidak segan menyatakan kebenaran apa yang telah dilakukan.

“Orang berbudi, kita berbahasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Buah last’ kempen, YB Duyong bidas kenyataan DAP appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved