Zahid bidas Gobind, jangan gila talak

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 5:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Zahid bidas Gobind, jangan gila talak

MELAKA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membidas kenyataan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo yang mencabarnya meletakkan jawatan, sekiranya tidak lagi yakin terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, pendirian politik BN di peringkat negeri, khususnya melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak boleh disamakan dengan komitmen terhadap kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerjasama politik dan hala tuju parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri merupakan hak masing-masing berdasarkan keadaan dan keperluan tempatan.

Tegasnya, tidak pernah timbul soal BN tidak menyokong kepemimpinan Anwar di peringkat Persekutuan.

Katanya, menteri-menteri BN sentiasa memberikan kerjasama dan tidak pernah menunjukkan penolakan terhadap dasar-dasar yang diputuskan Kerajaan Perpaduan.

“Tidak timbul kita tidak menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar di peringkat Persekutuan.

“Ini lebih terang dan lebih nyata kerana ketika dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tidak pernah sekali pun menteri-menteri daripada BN tidak bersetuju dengan dasar-dasar Kerajaan Perpaduan ataupun berbeza pendapat dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Ini semua menteri-menteri menyaksikannya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka di Tambak Paya, Ayer Molek di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Gobind yang mencabar beliau meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada, berbanding mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal.

Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa tindakan sedemikian tidak perlu dilakukan sekadar kerana perbezaan pendirian politik.

“Jadi kalau beliau rasa apa yang beliau nyatakan itu patut dibuat, jadi buatlah sebagaimana yang dibuat oleh Setiausaha Agung partinya.

“Jadi janganlah pula bila dah syor jawatan, seperti orang gila talak pula. Jadi kita tidak mahu gila talak macam mereka,” katanya.

Ahmad Zahid menolak dakwaan bahawa kerjasama BN dan PN pada PRN Melaka akan menjejaskan sokongan pengundi bukan Melayu.

Beliau menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu keserasian politik yang diharap mampu diterjemahkan kepada sokongan rakyat.

“Saya fikir ini adalah satu keserasian yang baik dan saya harap ia bukan sekadar untuk menyatukan minda dan sokongan kedua-dua parti yang berseteru lebih daripada lima dekad.

“Kita telah mencuba di Negeri Sembilan dan ini kali kedua di Melaka. Kita harap, insya-Allah, kita dapat terjemahkan dengan sebaik-baiknya kerjasama ini dalam bentuk sokongan,” katanya. – UTUSAN

The post Zahid bidas Gobind, jangan gila talak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved