
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai supaya tidak gusar dan mengelak daripada membuat spekulasi, berhubung kes penemuan beberapa naskhah al-Quran yang dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (gambar) berkata polis akan memastikan pelaku dalam kes tersebut, dikesan secepat mungkin dan diambil tindakan.
Beliau berkata PDRM dan agensi berkaitan akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia terpelihara.
“Dalam menjaga sensitiviti dan kesucian al-Quran, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin melupuskannya, sewajarnya mendapatkan nasihat daripada pihak jabatan agama Islam tempatan sebelum pelupusan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran, dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama.
Sebelum ini, seorang wanita tempatan yang juga Ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan membuat laporan polis, dengan memaklumkan beliau menemukan beberapa naskah kitab suci itu di dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang di sini, pada 18 Feb lepas. -Bernama
