Buang puntung rokok: Kakitangan MBSA berdepan tindakan disiplin, khidmat masyarakat

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 1:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Buang puntung rokok: Kakitangan MBSA berdepan tindakan disiplin, khidmat masyarakat
Kor Ming bercakap kepada pemberita pada Jumaat.

IPOH - Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang tular kerana didakwa membuang puntung rokok tidak terkecuali daripada tindakan disiplin serta perintah khidmat masyarakat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau menegaskan, prinsip kedaulatan undang-undang perlu ditegakkan tanpa mengira kedudukan individu, selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang.

“Sudah banyak kali saya terangkan, tidak kira kamu siapa, ada Tan Sri, Datuk Seri, pekerja atau kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT), jika didapati melakukan kesalahan, tindakan sewajarnya akan diambil.

“Malah, jika melibatkan kakitangan PBT, mereka bukan sahaja boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat, tetapi disiplin kerana sepatutnya mereka wajib menjadi teladan yang baik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Cina di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong.

Kor Ming berkata, setakat ini lebih 3,000 individu telah dikenakan tindakan di bawah Perintah Khidmat Masyarakat kerana kesalahan membuang sampah di tempat awam.

"Tiada siapa terkecuali daripada tindakan undang-undang. Dalam isu ini senang sahaja. Jika tidak mahu sapu jalan 12 jam, janganlah buang sampah. Sampah itu tempatnya di tong sampah," katanya.

Terdahulu, MBSA dalam kenyataan memaklumkan kes berkenaan telah dirujuk kepada Bahagian Integriti untuk siasatan lanjut mengikut Kaedah-Kaedah Pegawai MBSA (Kelakuan dan Tatatertib) 2023.

Mengulas isu berasingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu berkata, projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat bernilai RM15 juta di Pekan Lama Ipoh yang dilaksanakan menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI) kini di peringkat akhir sebelum dimulakan.

Katanya, projek tersebut masih menunggu penyelesaian beberapa perkara melibatkan tanah dan syarat konsesi oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Saya telah arahkan Datuk Bandar untuk menyelesaikan perkara ini segera supaya kerja-kerja permulaan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Masalah kekurangan tempat letak kereta di kawasan ini telah berlarutan lebih 20 tahun dan perlu diselesaikan,” katanya.