KUANTAN - Tiga perokok masing-masing didenda RM300 selain diperintah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama dua jam dalam tempoh tiga bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan membuang puntung rokok di kawasan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 26 hingga 40 tahun itu dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu di bawah Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menurutnya, semua mereka berdepan hukuman penjara 10 hari sekiranya gagal membayar denda serta denda RM2,000 jika gagal melaksanakan PKM dalam tempoh ditetapkan.
"Seorang lelaki warga Bangladesh turut dituduh di mahkamah sama hari ini, bagaimanapun kes itu ditunda dan akan disebut semula pada tarikh lain.
"Tiga lelaki ini antara 19 individu yang telah dijatuhkan hukuman di bawah Akta 672 dan merupakan sebutan kes kali ketujuh di Pahang," katanya ketika ditemui selepas hadir mengikuti sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Khalid berkata, seramai 159 individu telah dikeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di Pahang dan 19 daripadanya telah didakwa di mahkamah serta dikenakan hukuman.
Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 1,042 NPK di tujuh negeri yang melaksanakan Akta 672 telah dikeluarkan setakat ini melibatkan 820 warga tempatan dan 222 warga asing.
"Hampir 90 peratus kesalahan membuang sampah kecil di kawasan awam ini melibatkan puntung rokok," katanya.
Sementara itu, Khalid berkata, SWCorp mengambil pelbagai pendekatan dalam menangani masalah pembuangan sampah di kawasan awam, namun yang paling berkesan ialah pemantauan berterusan yang dilakukan anggota penguat kuasa berpakaian biasa.
"Sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini, anggota penguat kuasa tanpa seragam akan ditempatkan di lokasi 'hotspot' termasuk di beberapa lokasi sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU).
"Selain meningkatkan pemantauan melalui penyamaran, langkah menambah kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi hotspot juga dilaksanakan," katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat bagi menangani masalah itu dengan merakam video kesalahan membuang sampah dan menyalurkan maklumat serta bukti tersebut kepada SWCorp untuk tindakan.
"Terdapat beberapa kes yang dikongsi netizen melalui media sosial berjaya dikesan dan tindakan diambil terhadap pelakunya," katanya.

