Buang sampah ikut tingkap, malu ikut mana?

OpinionLifestyle
13 May 2026 • 9:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Buang sampah ikut tingkap, malu ikut mana?
Tisu, plastik makanan, botol air, puntung rokok, kertas makanan semuanya boleh ‘terbang’ keluar dari tingkap kereta sesuka hati. Gambar hiasan

JALAN raya sekarang ini kadang-kadang dah macam tong sampah bergerak. Tisu, plastik makanan, botol air, puntung rokok, kertas makanan semuanya boleh ‘terbang’ keluar dari tingkap kereta sesuka hati.

Lebih pelik, perbuatan itu dibuat tanpa rasa segan silu. Tingkap dibuka perlahan-lahan, kemudian sampah dicampak begitu sahaja.

Merak Jalanan pun hairan. Dah masuk tahun 2026 pun masih ada lagi manusia yang selamba buang sampah dari kereta. Mentaliti apakah ini? Cukup memalukan.

Bukan budak kecil, tapi orang dewasa yang cukup matang dan cukup dewasa untuk memandu mahupun bekerja. Tapi bab kebersihan awam, macam terus hilang rasa tanggungjawab.

Merak Jalanan perhati, ramai sebenarnya cukup peka soal kebersihan di rumah sendiri. Lantai kena bersih, sampah mesti masuk tong, halaman pula disapu setiap hari.

Tapi bila berada di tempat awam, perangai berubah, semuanya boleh jadi pengotor.

Yang penting kawasan sendiri bersih, manakala jalan raya dan longkang dianggap bukan tanggungjawab sesiapa.

Ironinya, orang yang suka mengeluh bandar kotor kadang-kadang datang daripada kelompok yang sama membuang sampah sesuka hati.

Lebih menyedihkan, ada ibu bapa sendiri menunjukkan contoh buruk di depan anak-anak. Lama-kelamaan, sikap itu dianggap normal.

Merak Jalanan teringat, dulu orang tua-tua cukup marah kalau ada yang buang sampah merata-rata. Malu katanya. Hari ini, rasa malu itu macam makin hilang.

Kadang-kadang yang mencemarkan bukan plastik atau botol itu, tetapi sikap manusia sendiri.

View Original Article