“Buat Infaq, Bukan Kutip Derma” – Syaiful Zero Tampil Jelaskan Isu Live TikTok Agih Nasi Lemak Percuma

LocalFood
6 Feb 2026 • 10:02 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Tular di media sosial apabila seorang individu mempersoalkan tindakan seorang pelawak yang didakwa membuat siaran langsung di TikTok setiap pagi bagi meminta sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada penduduk sekitar.

Menerusi hantaran tersebut, individu berkenaan mendakwa pelawak terbabit mengutip wang ‘derma’ kononnya untuk bersedekah, namun bayaran dimasukkan ke akaun sendiri.

“Can somebody please check on this guy. Katanya pelawak. Sekarang kerja apa? Hampir setiap pagi buat live TikTok minta derma untuk disedekahkan… Tapi masuk akaun sendiri. Entah la, sekarang banyak di TikTok buat konsep sedekah untuk lariskan jualan masing-masing. Macam tak kena dari segi etika dan agama,” tulisnya.

Dakwaan itu turut mempersoalkan sama ada makanan yang diagihkan sebenarnya adalah jualan miliknya sendiri menggunakan hasil kutipan orang ramai.

Syaiful tampil beri penjelasan

Menjawab persoalan tersebut, tuan badan sendiri iaitu Syaiful atau lebih dikenali dengan karakter komedi Melati, tampil menjelaskan situasi sebenar.

Menurutnya, beliau sekadar mengadakan program infaq makanan secara konsisten setiap minggu, bukannya mengutip derma secara terbuka.

“Senang-senang tengok video di TikTok saya yaa… setiap Isnin hingga Khamis buat infaq kuih dan nasi lemak 50 bungkus. Infaq Jumaat nasi lemak akan diagihkan ke masjid dan surau. Selebih duit tu diagihkan ke anak-anak yatim piatu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan banyak video agihan dibuat secara terbuka sebagai bukti ketelusan.

Netizen cadang buka NGO

Bagaimanapun, seorang netizen mencadangkan agar beliau menubuhkan NGO bagi mengelakkan salah faham.

“Matlamat tak menghalalkan cara. Akaun enterprise dilarang kutip derma sebab takde audit. Kalau buka NGO, kutipan lebih jelas dan orang tak ragu-ragu,” katanya.

Namun ada juga yang mempertahankan pelawak berkenaan dengan menjelaskan konsep sebenar yang dilakukan.

“Tu bukan derma. Orang beli nasi lemak, tapi minta dia sedekahkan kepada orang lain. Contoh transfer RM10 untuk 5 bungkus, dia terus agih. Tak ada istilah duit lebih pun,” jelas seorang pengguna.

“Infaq dan derma jual beza” – Syaiful

Menjawab cadangan membuka NGO, Syaiful menjelaskan beliau lebih selesa menguruskan sendiri tanpa melibatkan organisasi.

“Saya tak buat NGO. Kalau buat NGO nanti YB-YB masuk, jadi lain pula fikir orang. Saya buat sendiri je, tolong isteri berjualan sambil menginfaq. Ajak viewers yang nak join. Infaq dan derma jual beza,” katanya.

Seorang lagi netizen turut memuji kejujurannya, malah mendakwa lebihan wang yang tidak sempat digunakan tetap disalurkan kepada anak yatim.

Syaiful bagaimanapun mengambil pendekatan tenang terhadap kritikan.

“Tak apa la, orang cakap apa pun saya tak ambil hati. Allah ada,” ujarnya.

Isu sensitif, ketelusan penting

Fenomena kutipan sumbangan melalui media sosial sememangnya semakin kerap berlaku, namun pada masa sama turut mengundang keraguan segelintir pihak susulan beberapa kes salah guna dana sebelum ini.

Apa pun, netizen diingatkan agar menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan, manakala penganjur pula digalakkan memastikan ketelusan demi mengelakkan salah faham.

Kalau niat baik, insya-Allah jalan pun dipermudahkan. Tapi bab duit orang ramai, memang sensitif sikit, jelas dan telus itu paling selamat. – The Malaysian Update

The post “Buat Infaq, Bukan Kutip Derma” – Syaiful Zero Tampil Jelaskan Isu Live TikTok Agih Nasi Lemak Percuma appeared first on The Malaysian Update.