Polis, JAIS Siasat Kes Wanita Bertudung Berzumba Tanpa Pakai Kain

LocalPolitics
19 Jan 2026 • 10:40 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada hujung minggu lalu, tular satu video rakaman Live TikTok yang dikongsikan semula di media sosial menyaksikan beberapa wanita sedang melakukan senaman zumba di atas pentas.

Namun video itu menerima kecaman ramai apabila kelihatan salah seorang wanita memakai tudung dan baju kurung sekolah, tetapi tidak memakai kain.

Sebaliknya dia hanya berseluar pendek sehingga kelihatan seperti tidak memakai sebarang seluar. Kelihatan seorang lagi wanita pula menggayakan baju sekolah dengan seluar ketat atau leggings.

Pihak Polis Buka Kertas Siasatan Program Zumba Dewan Bukit Badong

Terbaharu, pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung penularan gambar dan video program senaman aerobik atau zumba yang didakwa tidak sopan di Dewan Orang Ramai Bukit Badong, Bestari Jaya pada Jumaat (16 Januari).

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin, gambar dan video berkaitan program tersebut telah dikesan oleh pihaknya di sebuah laman Facebook pada pagi Ahad (18 Januari).

Beliau mengesahkan bahawa program itu telah disiarkan secara langsung di TikTok sebelum gambar dan video tular di media sosial.

“Hasil siasatan awal mendapati program zumba itu diadakan dengan tema ‘Back To School’.

“Bagaimanapun, dalam rakaman yang tular, terdapat seorang individu bertudung dan berpakaian seragam sekolah yang didapati tidak memakai kain, selain seorang lagi individu hanya mengenakan seluar legging,” katanya dipetik Awani.

Wanita Dipercayai Tanggal Kain Sekolah Untuk Mudahkan Pergerakan – Polis

Mengulas lanjut, Azaharudin berkata siasatan mendapati salah seorang peserta dipercayai menanggalkan kain sekolah yang dipakai sebelum itu agar pergerakannya lebih lancar ketika melakukan zumba tersebut.

Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

JAIS Siasat Senaman Zumba, Boleh Sebabkan Islam Dipandang Hina

Dalam pada itu, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menyiasat aktiviti tersebut yang didakwa mengandungi elemen yang dapat dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata JAIS memandang serius perbuatan tersebut kerana disifatkan sebagai sangat tidak beradab.

“Hal ini kerana selain sangat tidak beradab, aktiviti itu mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau suatu perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“JAIS juga sedang menyiasat kejadian tersebut termasuk lokasi sebenar kejadian, penganjur program dan individu yang terlibat,” katanya dipetik MalaysiaKini.

Wanita Terlibat Zumba Minta Maaf

Semalam (18 Januari), tular juga rakaman video permohonan maaf daripada seorang wanita dipercayai individu terlibat dalam senaman zumba tersebut.

Katanya, dia telah membuat Live TikTok secara spontan tanpa pengetahuan penganjur dan mana-mana pihak lain.

“Saya mohon maaf ada individu yang pakai tudung tapi tak berkain, itu semua.

“Sebenarnya benda tu spontan la, benda tu spontan. Mungkin atas kesilapan diri sendiri. Apa-apapun saya nak minta maaflah,” katanya.

View on Threads