
Buat Live Semasa Bedah, Doktor Dikecam Langgar Privasi Pesakit
Seorang doktor di Thailand dikecam selepas didakwa membuat siaran langsung di laman Tiktok ketika sedang melakukan pembedahan di sebuah bilik bedah baru-baru ini, lapor The Thaiger.
Difahamkan, Majlis Perubatan Thailand buat masa ini sedang mencari identiti doktor itu kerana disyaki melanggar undang-undang yang ditetapkan.
Seorang warganet Thailand berkongsi tangkap layar rakaman siaran langsung itu di Twitter dengan mempersoalkan kewajaran doktor tersebut membuat siaran langsung semasa bedah pesakit.
“Seminit lalu, seorang doktor membuat siaran langsung semasa menguruskan pesakit di Tiktok. Adakah ini sesuai?” katanya menerusi kapsyen pada perkongsian itu.
Sementara itu, pengguna lain juga turut tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh doktor terbabit dan menganggap dia sudah melanggar privasi pesakit.
Beberapa warganet yang lain mendedahkan bahawa mereka pernah melihat video perubatan secara langsung sebelum ini, tetapi ia disiarkan oleh klinik kecantikan dan pusat pembedahan kosmetik.
Sebilangan warganet menambah bahawa perkara itu boleh diterima kerana pesakit telah memberikan kebenaran untuk memaparkan videonya untuk mendapatkan diskaun.
Walau bagaimanapun, tangkap layar rakaman itu mendedahkan pembedahan dilakukan pada pukul 3 pagi dan ada yang membuat spekulasi bahawa ia merupakan operasi kecemasan.
Mohon maaf
Kemudiannya, stesen TV Thailand, Amarin TV melaporkan, doktor itu bagaimanapun memohon maaf atas tindakannya di ruangan komentar di bawah video tersebut.
“Saya ingin memohon maaf. Saya menyiarkan secara langsung pembedahan kerana saya fikir wajah pesakit dan proses pembedahan tidak dilihat dalam video.
“Ia adalah salah saya. Saya memohon maaf kepada semua orang atas kelalaian saya,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Tetap Majlis Perubatan Thailand, Ittaporn Kanacharoen mendedahkan di Facebook bahawa pihaknya menyedari akan isu yang berlaku tersebut.
Menurut beliau, pihaknya akan menyiasat kes itu dan mengenakan tindakan tatatertib terhadap doktor terbabit mengikut Akta Profesion Perubatan Thailand.
Ittaporn turut menggesa warganet untuk menghantar maklumat mengenai doktor itu di Facebook dan berkata sekiranya melakukan siaran langsung melibatkan pesakit, doktor harus mendapatkan kebenaran mereka terlebih dahulu.
“Video yang dibuat haruslah tidak melanggar hak orang lain terutamanya pesakit. Doktor itu mesti membuktikan bahawa orang yang berkaitan dan pusat perubatan sebeluat suara bersetuju untuk dipaparkan di video itu.
“Saya mengesyorkan setiap doktor untuk ketahui lebih lanjut tentang undang-undang. Jika ada apa-apa yang tidak jelas, mereka boleh menyemak dengan majlis,” tambahnya.
Sumber: The Thaiger
The post Buat ‘Live’ Semasa Bedah, Doktor Dikecam Langgar Privasi Pesakit appeared first on Siakap Keli.

