Buaya 10-kaki ditangkap di Sungai Kawang

LocalEnvironment
17 Jun 2026 • 3:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Buaya 10-kaki ditangkap di Sungai Kawang

PAPAR: Seekor buaya betina sepanjang kira-kira 10 kaki ditangkap oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) selepas reptilia itu memakan umpan pancing yang dipasang di Sungai Kawang, namun penduduk masih bimbang dengan ancaman buaya lain yang dipercayai lebih besar.

Ketua Kampung Kawang, Salleh Miasin berkata buaya berkenaan didapati memakan umpan pada kira-kira 9 pagi Isnin sebelum ditangkap oleh pihak JHL.

Beliau berkata, daripada enam mata pancing yang dipasang oleh jabatan itu, hanya satu telah dimakan buaya dan berharap baki pancing yang masih dipasang dapat membantu menangkap reptilia lain di kawasan berkenaan.

Menurutnya, penduduk percaya masih terdapat beberapa buaya lain, termasuk seekor yang dianggarkan berukuran antara 15 hingga 20 kaki berdasarkan dakwaan saksi yang pernah melihatnya pada waktu malam.

“Selagi buaya lain belum ditangkap, ancaman kepada penduduk masih ada dan usaha perlu diteruskan sehingga semua buaya yang mengancam keselamatan penduduk di Sungai Kawang berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Salleh berkata penduduk kampung, khususnya nelayan yang bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki, dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika turun ke sampan atau menjalankan aktiviti memancing.

Beliau turut mengingatkan pemancing, terutama mereka yang membawa anak-anak, supaya tidak berada terlalu dekat dengan tebing sungai dan sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak yang gemar bermain di kawasan berkenaan.

“Buaya boleh menyerang secara tiba-tiba. Justeru, penduduk dan nelayan perlu sentiasa berwaspada serta memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum melakukan sebarang aktiviti di sungai,” katanya.

Beliau berharap JHL akan meneruskan operasi memasang pancing sehingga buaya lain ditangkap.

“Ini bagi memastikan tiada lagi ancaman kepada penduduk kampung, khususnya nelayan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved